MENTERI Besar Amirudin Shari perlu memutuskan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), desak 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini.
Kumpulan yang membentuk Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) itu juga berkata mereka sedang menimbang untuk membawa isu tersebut ke mahkamah jika usaha untuk menghalang penyahwartaan hutan simpan itu gagal.
Exco Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Damien Thanam Divean dalam pada itu mengingatkan Amirudin cadangan penyahwartaan HSKLU mendapat bantahan rakyat.
“Malah Adun Selangor sudah meluluskan usul untuk menolak penyahwartaan,” katanya pada sidang media secara maya di Facebook hari ini.
Selain itu, PEKA juga ingin merayu kepada Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah campur tangan dalam isu penyahwartaan tersebut.
PHSKLU membantah rancangan kerajaan Selangor untuk meneroka dan membangunkan 931 hektar hutan tanah gambut yang bersempadan dengan Cyberjaya, Putrajaya, Putra Heights dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi memberi laluan kepada “pembangunan campuran”.
Penyahwartaan HSKLU dilaporkan akan menjejaskan kehidupan 2,000 Orang Asli Temuan.
Bantahan terhadap rancangan kerajaan negeri pernah dibangkitkan pemimpin masyarakat Orang Asli pada sesi town hall di Pulau Carey pada 29 September lalu.
Awal tahun lalu, Amirudin berkata 40% daripada kawasan tanah yang terlibat dalam penyahwartaan itu adalah hutan rosot dan kerana itu kerajaan negeri berpendapat kawasan itu lebih baik dibangunkan. – 4 Februari, 2021.
Komen