.jpg)
SEBELUM ini, saya telah menulis mengenai risiko bencana di kawasan bukit batu kapur yang boleh berlaku secara semula jadi, khususnya di negeri Perak.
Tulisan saya telah didorong oleh tragedi di Banjaran Hotsprings yang berlaku pada bulan November 2020, mengorbankan dua pengunjung di salah sebuah vila di situ.
Saya bernasib baik kerana ahli keluarga saya telah terdedah kepada Covid-19 yang memaksa kami membatalkan percutian keluarga di Banjaran Hotsprings. Percutian itu sepatutnya berlangsung pada waktu yang sama dengan kejadian tersebut.
Menariknya, surat saya telah mendapat perhatian dari Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan menteri besar Perak.
Peka dilihat memperjuangkan alam sekitar dan keindahan Gunung Lanno apabila berkongsi kekecewaan mereka dengan pihak berkuasa kerana tidak menghentikan aktiviti kuari yang dikatakan menjadi penyebab kemusnahan flora dan fauna di kawasan tersebut.
Menurut Peka, menteri besar kemudian menyatakan aktiviti kuari dikawal dengan ketat walaupun kebanyakan kuari di Perak dimiliki syarikat persendirian.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa industri kuari merupakan penyumbang terbesar ekonomi negeri Perak.
Saya amat kecewa kerana Peka dan MB Perak langsung tidak menyentuh isu penting dalam surat saya sebelum ini, iaitu risiko bencana di bukit batu kapur yang tidak mudah diramalkan.
Pelbagai pakar menyatakan dengan jelas bahawa struktur dinding batu kapur mudah dilemahkan hanya dengan air hujan.
Apabila air ini mengalir di celah rekahan permukaan dinding batu kapur, penghakisan secara semula jadi akan berlaku.
Bahaya secara semula jadi yang sepatutnya diberi penekanan ini tidak diberi fokus, seolah-olah ia satu perkara yang remeh. Kes ini sama seperti tragedi di Banjaran Hotsprings.
Bagi saya, jika ada kegiatan kuari di sesuatu kawasan, tiada siapa yang sepatutnya dibenarkan masuk dalam perimeter yang ditetapkan.
Dalam kes seperti ini, risiko atau bahaya yang wujud sememangnya jelas. Sudah pasti pihak yang mengendalikan kuari tidak akan membenarkan penghuni atau pengunjung masuk atau berada dalam perimeter yang telah ditetapkan.
Lainlah jika ada pihak yang menceroboh dan membina struktur bangunan secara tidak sah di dalam kawasn berkenaan.
Sekali lagi, saya ingin menekankan isu utama – risiko di bukit batu kapur yang boleh runtuh kerana strukturnya yang tidak stabil.
Sebilangan bukit seperti ini terletak di Lembah Kinta Perak dan ada yang berdekatan dengan jalan raya, kawasan perumahan serta pembangunan dan berdekatan dengan kawasan tarikan pelancongan.
Terdapat juga struktur yang telah dibina, secara sah atau tidak, di gua atau di kaki bukit ini untuk pelbagai tujuan dan sering mempunyai penghuni.
Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, hampir 20 kes runtuhan batu kapur semulajadi berlaku di sekitar Ipoh sahaja. Ini termasuk kejadian terbaharu yang berlaku di Banjaran Hotsprings.
Tragedi terburuk berlaku pada tahun 1973 di Gunung Cheroh, yang mengorbankan 42 orang. Pada tahun 2009, insiden Gua Perak juga menyebabkan kematian dan kecederaan, termasuk kerosakan harta benda.
Tidak ada satu pun tragedi yang berlaku ini disebabkan oleh aktiviti kuari – seperti yang dapat dilihat dengan jelas dalam tragedi Banjaran Hotsprings.
Saya benar-benar berharap insiden malang di Banjaran Hotsprings akan membuka mata kerajaan negeri Perak untuk memberi lebih perhatian dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Antaranya, tidak mengeluarkan permit kepada pembangunan pusat peranginan atau kawasan rekreasi untuk tujuan awam, yang dibina terlalu dekat dengan bukit batu kapur.
Dalam kes seperti Banjaran Hotsprings, saya tertanya-tanya mengapa kelulusan diberikan sejak awal lagi?
Di Perak, terdapat beberapa tempat di mana kuil, rumah dan struktur lain telah dibina di gua-gua atau di kaki bukit batu kapur.
Kenyataan bahawa struktur berkenaan telah dibina secara haram tidak boleh dijadikan alasan.
Selagi struktur yang dikatakan haram dibiarkan berada di kawasan berkenaan, kerajaan harus dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.
Sudah tiba masanya kerajaan Perak meneliti pelbagai kajian dan laporan yang menceritakan risiko bencana bukit batu kapur yang timbul secara semula jadi.
Jangan sekadar menjawab dengan isu kemusnahan persekitaran dan keperluan menyelamatkan labah-labah ditimbulkan, seolah-olah perkara ini lebih penting daripada risiko kepada nyawa.
Dalam kebanyakan kes, operasi kuari tidak akan dijalankan di kawasan kediaman awam. Oleh itu, aktiviti ini tidak sepatutnya mendatangkan risiko kepada nyawa manusia.
Dalam senario seperti ini, risikonya cuma akan timbul hanya apabila terdapat pencerobohan dan pembinaan struktur secara haram.
Oleh itu, amat penting bagi pihak yang memegang hak ke atas tanah berkenaan mengambil tindakan bagi memastikan tanah berkenaan dikosongkan.
Saya berharap kerajaan negeri Perak akan memberi perhatian kepada kandungan surat saya ini – iaitu bahaya semula jadi bukit batu kapur.
Janganlah memandang remeh isu dengan menimbulkan isu kuari atau keluhan tentang ancaman terhadap alam sekitar.
Amat menyedihkan apabila perlindungan labah-labah dan flora dan fauna dijadikan perkara yang lebih penting berbanding potensi kehilangan nyawa manusia. – 26 Februari, 2021.
* Adam Malek, pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen