Lebih 800 makmal belum terima kelulusan Miti, kata laporan


Berikutan itu ia telah mengganggu operasi pembekalan barangan, makanan dan juga farmaseutikal, kata pengerusi PMAM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2021.

 LEBIH 800 makmal di negara ini masih belum diberi kelulusan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, lapor The Star hari ini.

Menurut Pengerusi Persatuan Makmal Akreditasi Malaysia (PMAM) Louis Ooi, operasi ujian untuk pembekalan barangan, makanan dan farmaseutikal telah terganggu. 

“Sekitar 95% anggota kami, melibatkan kira-kira 10,000 pekerja di pelbagai makmal di seluruh negara tidak dapat beroperasi sebab kami belum dapat kelulusan Miti.

“Kami hantar permohonan pada Ahad tetapi kami masih tunggu kelulusan,” katanya seperti dipetik The Star.

Tanpa kelulusan Miti, makmal tidak dapat beroperasi semasa PKP penuh dari 1 hingga 14 Jun, menyukarkannya untuk mendapat perakuan dan melancarkan ke pasaran seperti makanan, alat perubatan dan produk farmasi.

Ini akan memberi kesan kepada bekalan barang ke pasaran domestik dan antarabangsa kerana produk tidak dapat dijual tanpa pengiktirafan rasmi.

“Tanpa akreditasi yang sah, semua barang tidak boleh dijual. Eksport juga akan terhenti kerana semua barang perlu memenuhi syarat standard antarabangsa.

“Sekitar 5% anggota kami terlibat dalam ujian Covid-19 terhadap pembungkusan makanan dan produk bagi memastikannya selamat sebelum dijual di pasaran,” katanya.

Ooi berkata, persatuan itu telah memberikan dokumen sokongan dari Jabatan Standard Malaysia untuk mengesahkan anggotanya sebagai perkhidmatan penting, tetapi masih menunggu persetujuan dari kementerian yang berkaitan.

Semasa PKP penuh, semua surat kelulusan untuk menjalankan perniagaan atau perjalanan bagi tujuan itu perlu diluluskan oleh pusat sehenti yang diselia Miti.

Setakat semalam, 95,142 syarikat telah mendapat kelulusan beroperasi semasa PKP penuh dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) baharu.

Lewat semalam, polis berkata anggotanya akan menerima semua surat kelulusan untuk pergerakan kerja dari semua kementerian.

Ketua Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman MV Srikumar M Nair berkata demikian dalam satu video pendek yang ditujukan kepada anggota polis bahawa arahan itu datang dari Ketua Polis Negara, dan yang mengawal sekatan jalan raya. – 3 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen