95,142 syarikat dapat kelulusan MITI beroperasi semasa sekatan penuh


Sebanyak 95,142 syarikat memperoleh kelulusan untuk beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan pematuhan ketat kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2021. 

SEBANYAK 517,144 syarikat dengan sejumlah 9.67 juta tenaga kerja mendaftar di bawah Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang ditadbir oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) setakat 12 tengah hari ini.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini berkata 95,142 syarikat memperoleh kelulusan untuk beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan pematuhan ketat kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu.  

“Setakat ini, berdasarkan kepada kapasiti tenaga kerja yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), dianggarkan 1.2 juta pekerja daripada syarikat yang diluluskan dibenarkan untuk bekerja di premis. Ia merupakan pengurangan 2.0 juta tenaga kerja daripada 3.2 juta tenaga kerja bagi syarikat yang diluluskan.

“Bagi syarikat di bawah sektor yang diluluskan yang tidak mendaftar dengan CIMS 3.0 sebelum PKP terbaharu ini, mereka dinasihatkan untuk berbuat demikian sekiranya mereka ingin beroperasi semasa PKP ini,” katanya.

MITI berkata ia telah mula memproses permohonan daripada syarikat di bawah sektor diluluskan bermula pukul 1 petang semalam.

“Semua surat kelulusan yang dikeluarkan oleh MITI menerusi CIMS 3.0 perlu mempunyai kod QR. Ciri ini diperlukan untuk membolehkan pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan mengesahkan ketulenan surat kelulusan,” katanya. – Bernama, 1 Jun, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen