Polis terima surat kelulusan untuk pergerakan dari semua kementerian 


Ketua Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman MV Srikumar M Nair berkata semua anggita diarahkan untuk menerima semua surat kelulusan untuk pergerakan bagi tujuan bekerja dari mana-mana kementerian.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2021.

POLIS akan menerima semua surat kelulusan untuk pergerakan kerja dari semua kementerian, kata Ketua Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman MV Srikumar M Nair.

Beliau berkata arahan itu adalah daripada Ketua Polis Negara dan ia akan dimaklumkan kepada semua bahagian yang menjalankan sekatan jalan raya.

“Ketua Polis Negara telah memutuskan dan mengarahkan supaya kita menerima pakai semua surat pergerakan baik dari Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), kementerian atau jabatan-jabatan kerajaan lain,” katanya dalam satu video pendek.

Ia berikutan terdapat aduan bahawa polis tidak menerima surat kelulusan perjalanan kepada mereka yang bekerja di sektor penting di bawah sekatan pergerakan penuh yang berkuatkuasa semalam hingga 14 Jun.

Malah, petugas kesihatan swasta, yang merupakan perkhidmatan penting, turut mengadu bahawa mereka tidak dibenarkan melepasi sekatan jalan raya untuk bekerja.

Antara aduan lain adalah surat yang dikeluarkan oleh kementerian pengangkutan dan Miti tidak diterima oleh polis.

Kementerian lain bertanggungjawab untuk meluluskan surat itu untuk pekerja dan perniagaan di bawah seliaan mereka, walaupun semua surat perlu melalui sistem berpusat CIMS 3.0 yang dibuat oleh Miti.

Free Malaysia Today melaporkan bahawa Srikumar berkata polis di sekatan jalan raya “akan memberi kelonggaran untuk dua atau tiga hari” kepada mereka yang masih belum menerima surat kelulusan.

Timbul kekeliruan dan penangguhan berhubung pengeluaran surat kelulusan selepas kerajaan mengubah beberapa prosedur sejak mengumumkan SOP bagi pelaksanaan sekatan pergerakan penuh pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, kementerian boleh memberi kebenaran untuk beroperasi dan melakukan perjalanan bagi sektor ekonomi dan perkhidmatan penting ketika sekatan pergerakan. Pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kelulusan diberikan oleh Miti sahaja.

Bagaimanapun sehari selepas itu, kerajaan menyatakan semua surat kelulusan untuk perniagaan atau perjalanan datang daripada pusat sehenti di bawah Miti, walaupun kementerian masih bertanggungjawab memberikan kelulusan.

Turut diumumkan semua surat kelulusan Miti bagi PKP sebelum ini terbatal berkuatkuasa 1 Jun, namun ia kemudian diubah kepada 3 Jun. – 2 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen