Faedah rendah, pelepasan cukai, antara cadangan MBAM hadapi sekatan pergerakan


Pembayaran bagi projek-projek kerajaan perlu dipercepatkan terutama untuk bulan Mei 2021, di semua peringkat bagi meringankan aliran tunai industri pembinaan, kata MBAM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2021.

BENARKAN pemberian moratorium pinjaman automatik buat rakyat dan perniagaan, selain berikan bantuan kewangan dengan kadar faedah rendah, kata Persatuan-Persatuan Pembina Malaysia (MBAM).

Banyak kontraktor terkesan dengan peningkatan kos akibat pandemik Covid-19, kata pengarah eksekutif MBAM Loh Mei Ling, justeru mencadangkan langkah ini sebagai inisiatif Putrajaya untuk membantu rakyat.

“(Berikan) pelepasan cukai perniagaan dan subsidi utiliti sepanjang tempoh sekatan pergerakan dan program subsidi upah untuk semua pekerja dengan gaji RM4,000 ke bawah.

“Pembayaran bagi projek-projek kerajaan perlu dipercepatkan terutama untuk bulan Mei 2021, di semua peringkat bagi meringankan aliran tunai industri pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mencadangkan pengecualian levi pekerja asing yang memperbaharui permit kerja dan kelulusan permit bagi mereka yang tersekat di negara asal dan tidak dapat kembali ke Malaysia.

Tambahnya perlu ada tambahan dalam Akta Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 agar dapat melindungi kontraktor dan menyatakan peruntukan lanjutan masa (EOT) dan pembahagian kos antara pihak-pihak yang berkontrak.

“Kontraktor juga harus diizinkan untuk meminta pampasan dari pemilik projek,” katanya.

Pada Jumaat, Muhyiddin mengumumkan sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun hingga 14 Jun.

Dalam tempoh ini, aktiviti sosial dan ekonomi dilarang sementara hanya perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi.

Jumlah jangkitan Covid-19 harian sekitar 8,000 kes setiap hari sejak seminggu terakhir.

Kata Loh, sekatan pergerakan penuh enam minggu sepanjang dua fasa akan menimbulkan masalah kepada kontraktor, dengan berkata industri akan menghadapi kekurangan kontraktor dan menyebabkan kenaikan harga secara keseluruhan.

“Pada hakikatnya, industri pembinaan Malaysia memerlukan suntikan wang secara langsung ke dalam perniagaan dengan segera sebagai langkah untuk memastikan industri berterusan.

“Kami harap kerajaan akan menangguhkan dan tidak memperkenalkan dasar baharu ketika tempoh ini kerana ia akan meningkatkan kos untuk menjalankan perniagaan,” katanya. – 31 Mei, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen