CIDB peruntuk RM7 juta bantu pekerja asing jalani ujian Covid-19


Ravin Palanisamy

Syarikat kecil berdepan kekadang kewangan bagi memastikan semua pekerja asing berdaftar mereka menjalani ujian Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2021.

LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan memperuntukkan RM7 juta untuk membantu syarikat dengan ujian Covid-19 terhadap pekerja asing mereka, kata Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof.

Beliau mengakui cabaran menyaring semua pekerja asing dan kekangan kewangan pada beberapa syarikat.

“Minggu lalu, CIDB bersetuju dalam pertemuan semua pekerja asing harus menjalani ujian.

“Walaupun beberapa syarikat boleh membuat tuntutan daripada Perkeso, mereka harus membayar terlebih dahulu sebelum dapat menuntut pembayaran balik. Oleh itu, beberapa syarikat kecil tidak mampu.

“Itulah sebabnya CIDB bersetuju memperuntukkan RM7 juta bagi membantu syarikat ini agar dapat segera menghantar pekerja asing berdaftar menjalani ujian,” katanya kepada pemberita hari ini setelah menghadiri ucapan khas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sempena ulang tahun pertama kerajaan Perikatan Nasional.

Fadillah yang juga menteri kanan, berkata beliau berharap bantuan daripada CIDB dapat mengurangkan risiko penularan Covid-19 di tapak pembinaan.

Pada Januari, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) mendesak CIDB memberikan subsidi untuk ujian Covid-19 yang melibatkan pekerja binaan.

Sebilangan kluster aktif Covid-19 melibatkan tapak pembinaan. – 1 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen