Tambah baik akta Covid-19 bagi kebaikan sektor pembinaan, kata MBAM


Ini disebabkan ianya terkait dengan pelanjutan peruntukan masa dan perkongsian kos, kata MBAM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2021.

PERSATUAN Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) berharap kerajaan dapat memperbaiki lagi Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Impak Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) 2020 untuk menawarkan perlindungan yang lebih baik dan kekal kepada pemain industri pembinaan. 

Menurut Presiden MBAM Sufri Mohd Zin, ini disebabkan ianya terkait dengan pelanjutan peruntukan masa dan perkongsian kos.

“Kontraktor telah mengambil langkah proaktif untuk menguji pekerja mereka walaupun tiada kepastian tuntutan dan buat masa sekarang tiada peruntukan bagi perbelanjaan ini. Tambahan pula, keuntungan mereka semakin menipis dan banyak anggota kami masih tidak dapat menyelesaikan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 2 Februari lepas, MBAM telah menyerahkan cadangan untuk menambah baik akta tersebut bagi kebaikan anggota MBAM dan industri pembinaan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Malaysia. 

Beliau berkata akta itu perlu ditambah baik walaupun di bawah Langkah Sementara Mengurangkan Impak Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Lanjutan Operasi) 2020, langkah-langkah itu telah dilanjutkan selama tiga bulan lagi sehingga 31 Mac 2021.

Pada 25 Februari, MBAM, bersama lima persatuan pembinaan lain, dalam satu memorandum bersama telah merayu kepada kerajaan untuk penangguhan selama setahun bagi memberi peluang kepada industri agar lebih bersedia daripada segi masa dan kewangan untuk mematuhi keperluan pindaan terkini Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Industri pembinaan berpendapat bahawa semua isu berkaitan pembinaan perlu berada di bawah pengawasan tunggal CIDB,” katanya.

Sufri dalam perkembangan lain memaklumkan kepada anggota MBAM bahawa Jabatan Kerja Raya Malaysia telah mula melaksanakan Prosedur Operasi Standard Pengiklanan, Penjualan Dokumen Tender Dalam Talian dan Penutupan Tender dalam Normal Baharu yang akan berkuatkuasa sehingga 31 Ogos tahun ini. – Bernama, 26 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen