JKKP sentiasa pantau SOP projek berisiko


insiden terbaharu membabitkan projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), di Persiaran Alam Damai, Cheras, Isnin lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2021.

KEMALANGAN di tapak pembinaan kerap dilaporkan kebelakangan ini memberi isyarat serius betapa pentingnya tindakan penguatkuasaan lebih tegas terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung insiden sama berulang.

Ini kerana kebanyakan kes kemalangan di tapak pembinaan dikenal pasti berpunca daripada kegagalan pihak kontraktor atau syarikat pembinaan mematuhi SOP yang ditetapkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia.

Kekerapan kecelakaan ini mengundang persoalan ramai, adakah pihak berwajib menutup sebelah mata dan memandang enteng selain tidak tegas dalam menguatkuasakan peraturan keselamatan di tapak pembinaan?

Ketua Pengarah JKKP Ir Zailee Dollah berkata hakikatnya, usaha membendung kemalangan di tapak pembinaan menjadi perkara utama yang sentiasa dipantau secara serius termasuk penambahbaikan SOP di tapak binaan.

“Bagaimanapun tidak dinafikan adakalanya kecelakaan terjadi jugak dan memerlukan siasatan lebih mendalam tentang punca kejadian selain arahan supaya penambahbaikan segera dilakukan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Beliau mengulas kekerapan kemalangan di tapak pembinaan di negara ini termasuk insiden terbaharu membabitkan projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), di Persiaran Alam Damai, Cheras, Isnin lepas.

Sambil menafikan pihak bertanggungjawab termasuk JKPP lepas tangan, Zailee menegaskan pemantauan perjalanan projek terutama yang berisiko tinggi sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa termasuk projek pembinaan lebuh raya SUKE sepanjang 31.8 kilometer itu.

Jelas beliau, sebelum memulakan sesuatu projek pembinaan, pemaju perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan antaranya memaklumkan projek yang ingin dibina selain perlu akur dengan ketetapan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Secara prinsipnya akta yang ada ini (Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994) diperuntukkan bagi tujuan keselamatan, kesihatan dan kebajikan bukan sahaja terhadap pekerja yang berada di kawasan pembinaan tetapi turut melindungi orang awam di kawasan berhampiran atau individu yang melalui lokasi pembinaan.

“Menjadi tanggungjawab kontraktor pula, melantik individu yang kompeten termasuk pegawai keselamatan dan kesihatan bagi membantu pihak pengurusan projek memastikan kawasan pembinaan dan pembangunan yang dilaksanakan kekal berada dalam persekitaran yang selamat dan sihat,” katanya.

Dalam kejadian di Persiaran Alam Damai itu, tiga pekerja pembinaan maut apabila komponen kren gantri  terjatuh di tapak pembinaan lebuh raya SUKE yang turut mencederakan seorang pemandu kereta yang melalui jalan berkenaan.

Pada 3 Mac lepas, dilaporkan dua maut dan tiga lagi cedera apabila struktur jambatan lebuh raya SUKE berhampiran Desa Tun Razak menghala Ampang runtuh, setelah sebuah treler merempuh perancah besi lebuh raya berkenaan.

Sementara itu pada September tahun lepas, seorang pemandu wanita nyaris maut apabila keretanya ditimpa batu konkrit daripada struktur pembinaan lebuh raya sama di Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Menurut Zailee, penaksiran risiko perlu sentiasa dilakukan kontraktor bagi mengenal pasti kemungkinan yang boleh berlaku supaya langkah pencegahan dapat dilakukan.

Selain itu, latihan kepada pekerja juga perlu diberikan agar kerja-kerja pembinaan di tapak binaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat, katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kontraktor atau mana-mana pihak yang gagal memastikan aspek keselamatan di tapak pembinaan.

Sejak pindaan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520) dikuat kuasa pada akhir 2016, sembilan kontraktor telah didakwa ke mahkamah kerana gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Katanya, dalam tempoh sama juga seramai 628 kontraktor dikenakan tindakan penggantungan, pembatalan atau penarikan semula pendaftaran, manakala 312 pengarah syarikat disenarai hitam atas pelbagai kesalahan.

“Pihak kontraktor sewajarnya lebih peka dan sepatutnya berusaha menjamin keselamatan orang ramai termasuklah pengalihan trafik atau penutupan jalan sepenuhnya semasa fasa pembinaan yang berisiko tinggi dilaksanakan.

‘’Pengalihan aliran trafik bukan sahaja dapat menghilangkan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya, malah dapat memaksimumkan ruang yang boleh digunakan untuk pembinaan dan mempercepatkan perlaksanaan projek,” katanya.

Akta 520 memperuntukkan penalti maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika berlaku kematian akibat kecuaian dalam pembinaan projek. – Bernama, 27 Mac, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen