KDN mesti rayu keputusan kalimah Allah, kata badan Islam


Diyana Ibrahim

Pengerusi Pembela Aminuddin Yahaya keputusan Mahkamah Tinggi itu mengejutkan dan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain 14 Mac, 2021.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mesti merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah, kata 50 badan masyarakat berkepentingan Islam.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) Aminuddin Yahaya berkata KDN juga perlu meminta pelaksanaan keputusan mahkamah itu ditangguhkan sehingga kes rayuan selesai.

“KDN juga perlu mengeluarkan pekeliling baru pengharaman penggunaan perkataan tersebut jika sekiranya penangguhan itu tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media selepas perjumpaan tergempar badan masyarakat berkepentingan Islam susulan kes itu di Kampung Baru hari ini.

Desakan itu antara enam resolusi yang diputuskan oleh 50 NGO Islam yang hadir dalam perjumpaan tergempar itu.

Dalam sidang media itu, Aminuddin juga berkata keputusan Mahkamah Tinggi itu mengejutkan dan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

“Keputusan ini akan memberi ruang kepada penyalahgunaan  yang akan menyebabkan bukan saja kalimah Allah  yang suci dan berkaitan akan dihina

“Malah ia akan menimbulkan kekeliruaan dalam kalangan umat Islam. Pintu murtad atau pluralisme akan terbuka luas,” katanya.

Pada Rabu lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama oleh pengganut Kristian adalah sah dan dibenarkan.

Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Hakim  Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan perisytiharan seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agama dihalang dengan sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.

Namun kebenaran itu ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku. 

Nor Bee  berkata arahan KDN  pada 1986 yang melarang penggunaan perkataan bermaksud “Tuhan” dan juga perkataan lain, adalah menyalahi undang-undang dan tidak mengikut Perlembagaan.

Hakim itu berkata berkata KDN “melampaui kekuasaannya” dengan arahan pada 1986 yang melarang kalimah “Allah” dengan alasan ia ancaman terhadap ketenteraman awam.

Khamis lepas Menteri Dalam  Negeri  Hamzah Zainuddin menegaskan akan mengambil tindakan lanjut dan meminta orang ramai menghentikan spekulasi keputusan mahkamah itu.

Sementara itu Aminuddin berkata NGO Islam dalam resolusinya  turut menuntut kerajaan dan jawatankuasa pemilihan hakim selepas ini melantik hakim yang benar faham sejarah perundangan negara dan menghayati Islam sebagai agama Persekutuan dalam konteks sebenar.

Beliau juga menyeru organisasi lain dan persatuan Islam mengambil serius isu tersebut yang boleh memberi impak besar kepada masyarakat Islam dengan menghantar memorandum bantahan di setiap negeri kadar segera.

“Kita juga menuntut kerajaan mengadakan mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan elemen penting bagi menjaga keutuhan umat Islam.

“Selain itu kita menggesa Dewan Bahasa dan Pustaka  untuk memberikan definasi  kepada ‘god’  sebagai ‘tuhan’ bagi menghilangkan pertikaian yang timbul katanya.

Tambahnya, kumpulan Islam juga memohon campur tangan Raja - Raja Melayu selaku ketua agama Islam untuk mengambil tindakan segera berhubung keputusan tersebut. – 14 Mac, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen