Kami tak berkuasa letak pemimpin di Putrajaya, kata persatuan Kristian


Noel Achariam

Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia Archbishop Julian Leow Beng Kim (tengah) berkata persatuan itu sentiasa menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2019.

PERSEKUTUAN Kristian Malaysia (CFM) tidak berkuasa atau memainkan sebarang peranan untuk meletakkan pemimpinnya di Putrajaya, kata Pengerusinya Archbishop Julian Leow Beng Kim.

Mengulas dakwaan kumpulan haluan kanan Melayu Islam yang matlamat CFM adalah untuk mengangkat pemimpin Kristian di Putrajaya, ketua paderi itu berkata Malaysia adalah negara demokrasi dan pemimpinnya dipilih rakyat menerusi pilihan raya umum.

“CFM konsisten menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang, mempromosi keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dalam pembinaan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, CFM juga sudah mendapatkan nasihat perundangan dan menggunakan semua haknya seperti termaktub dalam undang-undang bagi menangkis serangan terhadap nama baik dan reputasi persatuan itu.

Ahad lalu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah dan Presiden Isma Aminuddin Yahaya mendakwa CFM mempunyai agenda untuk meletakkan seramai mungkin pemimpin beragama Kristian di jawatan tinggi dalam kerajaan bagi mempromosi agamanya.

Bercakap di Konvensyen Perpaduan Ummah Kebangsaan di Kuala Lumpur, Aminuddin juga mendakwa penganut Kristian semakin berani meluaskan agama mereka dan menjadi ancaman besar kepada masyarakat majoriti Melayu Islam.

Naib Pengerusi CFM Rev Dr Eu Hong Seng pula berkata dakwaan Aminuddin itu bersifat politik dan bukannya agama.

“Jika kita abaikan ahli politik tertentu, ketegangan kaum dan agama akan berada pada tahap terendah.

“Rakyat Malaysia secara umumnya sangat bertolak ansur dan penyayang. Dan ia tidak pernah berubah sejak Mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Eu menjelaskan sebenarnya dalam kalangan rakyat biasa, ketegangan kaum dan agama sangat rendah.

“Jika kita bercakap dengan orang awam, ketegangan kaum dan agama rendah.

“Seolah-olah tak wujud. Hanya pihak tertentu cuba mencetuskan ketegangan (antara kaum),” tambah Eu. – 27 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen