Orang Melayu hilang percaya pada politik jika kerjasama Umno-PAS gagal, kata NGO 


Timothy Achariam Sheridan Mahavera Mohd Farhan Darwis

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya ketika bercakap pada program Wacana Intelektual sempena Himpunan Penyatuan Ummah yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September Ogos, 2019.

PIAGAM perpaduan ummah PAS-Umno, yang akan dimeterai esok, bukan sekadar politik semata-mata tetapi ia akan membantu orang Melayu dan Islam dalam meningkatkan ekonomi mereka, kata NGO Islam hari ini. 

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya berkata, gabungan itu akan membantu masyarakat Melayu-Islam agar setanding dengan masyarakat Cina dan India di negara ini. 

Beliau turut mengingatkan, masyarakat Melayu terutamanya golongan belia akan hilang kepercayaan terhadap politik sekiranya enyatuan dua parti itu gagal memenuhi janji untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam negara. 

“Perpaduan ummah antara parti ini bukan sekadar politik, tetapi ia akan membantu masyarakat Melayu dan Islam dalam meningkatkan ekonomi mereka dan membantu mereka untuk setanding dengan masyarakat Cina dan India di negara ini,” katanya. 

Menurutnya, pimpinan kedua-dua parti perlu memberi perhatian kepada golongan belia kerana mereka akan memerhati dan kecewa sekiranya janji-janji pakatan ini tidak ditunaikan. 

“Orang Melayu terutamanya belia, sangat teruja dengan penyatuan kedua-dua parti ini. Bahagian penting sekarang ialah kandungan piagam dan agendanya.
  
“Sekiranya ia tidak memenuhi jangkaan mereka, berkemungkinan mereka juga akan kecewa dengan politik,” katanya. 

Aminuddin berkata demikian sebagai panel pada sesi dialog Wacana Intelektual pada Himpunan Penyatuan Ummah yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. 

Ketika memberikan pandangannya, beliau turut membidas kerajaan Pakatan Harapan kerana tidak menjadi kerajaan yang “berpusat kepada Melayu”. 

“Saya melihat kerajaan hari ini bukan kerajaan yang berpusat kepada Melayu,” katanya.

Beliau juga berkata orang Melayu sudah hilang identiti kerana terpengaruh dengan nilai barat.

“Kita sudah hilang identiti. Nilai barat sudah menguasai belia kita. Malah ada dalam kalangan mereka mengatalan mereka tidak kisah dengan perdana menteri bukan Melayu,” katanya.

Aminduin berkata, sekiranya mereka tidak melindungi identiti mereka, masa depan bangsa Melayu akan musnah. 

“Jika kita, terutamanya kerajaan, tidak mempertahankan identiti kita, kita akan ketinggalan berbanding bangsa lain,” katanya. 

“Apabila kita mengatakan yang kita perlu pertahankan hak Melayu, kita dipanggil rasis..ini persepsi yang salah, Islam tidak mendiskriminasi, tetapi kita perlu kuat dalam keyakinan kita untuk mempertahankan identiti kita,” katanya. 

Piagam ini adalah hasil perbincangan sejak beberapa bulan lalu antara kedua-dua parti Melayu itu dengan matlamat utama untuk menumbangkan Pakatan Harapan di Putrajaya.

Dokumen ini dijangka menjadi asas bagaimana Umno dan PAS - yang merupakan musuh tradisi ecuali bagi tempoh 1972 dan 1977, yang menyaksikan PAS menjadi sebahagian daripada BN - mampu bekerjasama. 

Kedua-dua parti itu telah menjanjikan 2,000 perwakilan pada majlis menandatangani piagam itu, yang akan berlangsung di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.
 
Umno, MCA dan MIC adalah pengasas BN. Mereka juga merupakan anggota gabungan yang masih kekal, yang sebelum ini terdiri daripada 14 parti politik. – 13 September Ogos, 2019.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen