Menjelang 500 hari Pakatan di Putrajaya, aktivis dakwa Islam terpinggir


Chan Kok Leong

Islam terpinggir ketika Putrajaya ditadbir Pakatan Harapan, kata beberapa kumpulan Muslim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2019.

MENJELANG hari ke-500 pentadbiran Pakatan Harapan, kumpulan hak Muslim mendakwa Islam di Malaysia terpinggir.

Menurut aktivis itu, antara isu menjadi bukti terpinggirnya Islam adalah konsep Rahmatan al-amin diperkenal Putrajaya, pentadbiran sekolah tahfiz dan kebangkitkan liberalisme.

“Walaupun kerajaan cuba mempromosi Rahmatan al-amin, yang memperjuang Malaysia yang moderat dan pembinaan budaya hormat menghormati dan sejahtera antara pelbagai kaum dan agama, pelaksanaannya tidak berjalan lancar,” kata Timbalan Presiden Ikram Prof Badlishah Sham Baharin.

Katanya, ini disebabkan strategi media kempen konsep itu tidak bersepadu menyebabkan ia gagal mencapai sasaran.

“Kerajaan perlu berurusan dengan organisasi masyarakat sivil untuk memulakan wacana perpaduan dan kesejahteraan, dan mempunyai lebih banyak kandungan naratif bersederhana dalam semua jenis media,” katanya.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Aminuddin Yahya pula berkata, kempen Rahmatan al-amin menimbulkan banyak kekeliruaan dalam kalangan rakyat Malaysia dan terarah kepada tafsiran Islam liberal.

“Islam ditekan terutamanya dalam isu seperti pengajaran Jawi di sekolah, Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) dan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.”

Tambahnya, isu itu menjadi kontroversi kerana kerajaan mempolitikkannya.

Ketua kumpulan yang mesra Umno dan PAS itu juga berkata walaupun protes berjaya memaksa Putrajaya membatalkan hasrat meratifikasi Icerd, Ummah menjangkakan kerajaan akan tetap meratifikasinya pada masa depan. 

“Kita juga menyaksikan orang bukan Islam menjadi lebih dominan dalam kerajaan sekarang,” kata Aminuddin.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, kumpulan hak Muslim menuduh PH “tidak mesra” Islam dan penganutnya.

Aktivis hak Muslim mendakwa pentadbiran Pakatan Harapan tidak mesra Islam dan penganutnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2019.

Selari dengan naratif dimainkan Umno dan PAS, kumpulan itu juga menuduh DAP bertanggungjawab ke atas “kemerosotan Islam” di negara ini.

“Kerajaan tak mendengar (suara) akar umbi lagi, tetapi lebih berminat membentangkan idea pelik yang bercanggah sesama sendiri. Jelas sekali mereka dikawal. Pemimpin Melayu sekarang hanya boneka,” kata Aminuddin.

Bulan lepas, Ummah mengetuai kempen “Utamakan Produk Islam” tetapi menafikan ia bertujuan memboikot produk bukan Islam.

Menurutnya, cadangan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati, memperkenalkan akta kesejahteraan dan menghapuskan Akta Hasutan menyebabkan Islam terus terancam.

“Semua ini bertentangan dengan Islam. Ia mungkin nampak baik di luar tetapi sebenarnya bertujuan untuk meminggirkan Islam,” kata Aminuddin.

Sebuah lagi kumpulan pro Umno-PAS, Pertubuhan Sejahtera Muafakat Masyarakat Malaysia (Muafakat), berkata PH tidak melindungi Islam dengan baik.

“Kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama Islam Dr Mujahid Yusof Rawa tersasar jauh daripada naratif Islam yang sebenar,” kata Presiden Muafakat Ismail Mina.

“Ini menyebabkan orang Islam hilang percaya dengan keupayaan kerajaan melindungi Islam, dan ada kebimbangan orang Islam yang kurang pengetahuan akan terpengaruh dengan naratif kerajaan.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Aminuddin Yahya mendakwa pemimpin Melayu Islam Pakatan Harapan hanya boneka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2019.

“Orang ini disyaki liberal pemikirannya,” kata Ismail yang pernah mencetuskan kontroversi apabila menuduh bekas menteri sukan dan belia Khairy Jamaluddin bukanlah pembela Islam kerana mempromosi senaman zumba.

Ismail juga berkata, Mujahid perlu disingkirkan daripada Kabinet kerana gagal menghalang liberalisme daripada menerobos masyarakat.

Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta) Mohd Zahid Mahmood juga mengecam Putrajaya yang didakwa terlalu tegas terhadap sekolah tahfiz.

“Kerajaan sekarang cuba memaksa sekolah tahfiz mendaftar menggunakan ugutan. Pakatan mengancam untuk menutup sekolah tahfiz yang tidak patuh peraturan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan majlis perbandaran.”

Persatuan sekolah tahfiz mendakwa Putrajaya terlalu tegas dengan kebajikan dan pengurusan sekolah tradisi itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2019.

Zahid berkata kerajaan terdahulu banyak mengadakan perbincangan dan bertolak ansur dengan sekolah tahfiz tidak berdaftar.

“Sekolah ini perlukan lebih banyak masa untuk mematuhi peraturan kerana ia melibatkan kos. Saya tak faham mengapa Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan Mujahid menekan sekolah tahfiz.

“Adakah mereka cuba memuaskan hati pemimpin lain Pakatan dan tunjuk mereka liberal?”

Pada 2017, 23 pelajar dan guru maut dalam kebakaran di sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kg Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Siasatan kemudiannya mendapati, sekolah itu tidak mematuhi peraturan keselamatan kebakaran dan tidak mempunyai permit untuk beroperasi sebagai sekolah berasrama. – 29 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen