Liwat masih kesalahan jenayah


KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra Mubarrak v. kerajaan negeri Selangor & Anor pada 25 Februari, 2021 sama sekali tidak menafikan hakikat perbuatan liwat atau seks luar tabii tetap merupakan satu kesalahan jenayah di sisi undang-undang Malaysia.

Walaupun Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan perbuatan “persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii” sebagai satu kesalahan jenayah syariah adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, perbuatan liwat diterima sebagai satu kesalahan jenayah dalam undang-undang negara ini sama ada ia dilakukan secara sukarela atau tidak sepertimana yang boleh didapati pada Seksyen 377A dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Bahkan, hukuman yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan tersebut jauh lebih berat daripada hukuman yang diperuntukkan dalam Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, iaitu hukuman penjara maksimum 20 tahun diikuti dengan sebatan. Ini sekali gus menunjukkan keseriusan undang-undang dalam menanganinya.

Oleh yang demikian, mana-mana kenyataan yang mengatakan keputusan ini sebagai kemenangan buat komuniti LGBT adalah tidak berasas sama sekali.

Malah, ajaran Islam menegaskan perbuatan liwat adalah perbuatan yang terkeji sepertimana firman Allah SWT dalam Surah al-A’raaf, ayat 80-81 seperti yang berikut:

“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampau batas.”

Berbalik kepada kes Iki Putra, penghakiman Mahkamah Persekutuan tersebut lebih menjurus kepada menjawab isu bidang kuasa yang dibangkitkan berkenaan sama ada badan legislatif negeri boleh menggubal undang-undang kesalahan jenayah yang pada masa sama juga kesalahan terhadap perintah agama Islam.

Isunya bukan sama ada perbuatan liwat adalah satu kesalahan jenayah di sisi undang-undang negara atau tidak.

Butiran 1 Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan sememangnya membenarkan badan legislatif negeri untuk menggubal apa-apa undang-undang berkenaan kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama Islam.

Namun pada masa sama, butiran tersebut juga memperuntukkan klausa pengecualian yang mana penggubalan undang-undang tersebut tidak termasuk perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Memandangkan bidang kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah adalah di bawah Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, maka Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa badan legislatif negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah, walaupun ia kesalahan terhadap perintah agama Islam.

Ikram Legal konsisten dengan pendiriannya menyeru masyarakat Malaysia untuk menentang sebarang usaha untuk membenarkan dan/atau menormalisasikan liwat dan segala bentuk gaya hidup yang bertentangan dengan tabii termasuklah gaya hidup LGBT. Ia bukan saja bertentangan dengan ajaran Islam dan agama utama di dunia ini, malah mampu merosakkan keturunan dan sistem kekeluargaan yang menjadi tunjang dalam pembinaan tamadun manusia.

Memandangkan perbuatan liwat adalah kesalahan jenayah sivil, Ikram Legal menyeru pihak berkuasa yang berkenaan termasuklah polis dan pendakwa raya untuk memberikan perhatian serius dalam membendung gaya hidup sebegini dengan membuat siasatan dan melakukan pendakwaan di mahkamah sivil agar ia tidak menular dalam masyarakat.

Ikram Legal juga mencadangkan polis bekerjasama dengan pihak agama negeri, tanpa mengira negeri, dalam menangani isu jenayah begini yang berkait rapat dengan agama Islam yang merupakan agama persekutuan di Malaysia.

Ikram Legal juga menggesa agar perbincangan demi perbincangan dapat terus dijalankan pihak berkuasa khususnya antara kerajaan persekutuan dan negeri serta dengan pemegang taruh daripada kalangan masyarakat khususnya ulama, cendekiawan dan sarjana, ahli undang-undang dan badan bukan kerajaan berkenaan penggubalan dan pelaksanaan undang-undang kesalahan jenayah syariah di negeri dan bahkan kemungkinan pelaksanaannya di peringkat persekutuan sekalipun bagi memastikan ia selari dengan Perlembagaan Persekutuan sedia ada. – 28 Februari, 2021.

* Marwan Abdullah ialah pengerusi Ikram Legal.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen