Rayuan Anwar batal saman kes liwat didengar 5 Mac


Anwar Ibrahim dalam saman pemula difailkan pada 9 Jun, 2017 terhadap kerajaan, mendakwa tidak dibicarakan dengan adil dalam rayuannya berhubung sabitan kes liwat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2020.

MAHKAMAH Rayuan menetapkan 5 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman pemula beliau berhubung sabitan dalam kes liwat membabitkan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Peguamnya J.Leela, ketika dihubungi berkata peguam Muhammad Shafee Abdullah yang dibenarkan mencelah dalam prosiding rayuan itu telah memohon penangguhan sementara menunggu keputusan isu berkaitan di Mahkamah Persekutuan.

Sebelum ini pendengaran rayuan itu ditetapkan pada 18 November.

“Permohonan Shafee untuk kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan mahkamah yang menolak permohonan beliau bagi memadam afidavit Siti Rahayu (Mohd Mumazani) atau menyoal balasnya ditetapkan untuk pendengaran pada 21 Januari tahun depan,” kata Leela.

Pada 29 November, 2018, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Shafee untuk memadam afidavit dan menyoal balas Siti Rahayu, yang juga pegawai khas bekas peguam negara Tommy Thomas.

Bagaimanapun, mahkamah itu membenarkan Shafee mencelah dalam prosiding rayuan Anwar dalam tindakan sivil beliau berhubung sabitan kes liwat terhadapnya.

Siti Rahayu memfailkan afidavit menyatakan bahawa maklumat baharu yang diperoleh mendakwa sejumlah RM9.5 juta dibayar kepada Shafee daripada akaun bank bekas perdana menteri Najib Razak antara 2013 dan 2014.

Anwar, dalam saman pemula yang difailkan pada 9 Jun, 2017 terhadap kerajaan Malaysia, mendakwa beliau tidak dibicarakan dengan adil dalam rayuannya berhubung sabitan kes liwat terhadapnya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memohon satu deklarasi sabitan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac, 2014 ultra vires atau melangkaui kekuasaan Perlembagaan Persekutuan dan oleh yang demikian, terbatal serta tidak sah.

Beliau juga memohon perintah keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu ultra vires dan oleh yang demikian, adalah terbatal serta tidak sah.

Sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar bagi kesalahan meliwat Saiful dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Anwar mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei, 2018.

Pada 8 Nov, 2017, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman pemula Anwar selepas memutuskan bahawa kesnya tidak mempunyai asas dan sebarang bukti sebagai sokongan. – Bernama, 20 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen