SATU daripada enam kes membabitkan Anwar Ibrahim yang sedang disiasat ialah tuduhan meliwat, kata peguam Ramkarpal Singh yang mewakili ketua pembangkang itu.
Ramkarpal berkata tuduhan liwat itu membabitkan seorang lelaki berusia 20-an yang membuat laporan polis beberapa bulan lalu.
“Anwar disiasat pada masa itu dan beliau menafikannya,” kata wakil rakyat DAP itu yang enggan memperincikan butiran berikutan tuduhan itu masih dalam siasatan.
Beberapa bulan lalu, seorang lelaki mendakwa diliwat oleh Anwar beberapa kali di sebuah hotel.
Beliau mendakwa Anwar memintanya membawa seorang kawan, dan mereka berdua dikatakan dibayar RM300 untuk sesi itu.
Lelaki itu membuat laporan polis dan dijadualkan mengadakan sidang akhbar, tetapi kemudian menarik balik kenyataannya.
Beliau kemudian memberitahu The Malaysian Insight bahawa Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia Ramesh Rao mendesaknya supaya membuat laporan polis terhadap Anwar.
Ramesh menafikan tuduhan itu dan berkata lelaki terbabit datang kepadanya mengadu tentang insiden itu.
Lima lagi kes lain di mana Anwar disoal siasat hari ini membabitkan senarai wakil rakyat yang dikatakan menyokongnya untuk menjadi perdana menteri. – 16 Oktober, 2020.
Komen