Najib ragu kes Covid-19 boleh dikurangkan kepada dua digit Mei ini


Beliau mempersoalkan kemampuan kerajaan mengurangkan jangkitan Covid-19 kepada dua digit pada Mei ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2021.

MASIH belum jelas lagi adakah kerajaan dapat mengurangkan kes jangkitan harian Covid-19 kepada dua digit pada Mei setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) ditamatkan, kata Najib Razak.

Beliau berkata kes aktif dan kematian kekal tinggi walaupun terdapat penurunan kes baharu.

“Malah, 31 kluster baru diumum dalam tempoh dua hari lepas,” katanya melalui hantaran di Facebook rasminya.

“Selepas tempoh 1 bulan PKP 2.0 separuh masak yang sudahpun mula dilonggarkan lagi, Malaysia semakin menjarakkan diri dari negara-negara lain dalam Asean untuk menjadi juara Covid Asean,” tambahnya.

Wabak di Malaysia lima kali lebih teruk berbanding Filipina dan 2.5 kali ganda lebih banyak daripada Indonesia, dengan mengambil kira saiz kepadatan penduduk dan kes aktif.

“Amaran pakar kesihatan untuk jangan tertipu dengan penurunan kes Covid-19 ada betulnya. Penurunan kes beberapa hari lalu berlaku kerana jumlah ujian saringan Covid-19 tiba-tiba turun dengan ketara.

“Dari kapasiti maksima 76,000 yang dicapai beberapa hari lalu, ianya turun lebih 50% ke 32,536 kes pada hari sebelum kerajaan umum kes baru di bawah 3,000 untuk seketika dan boleh dakwa bahawa PKP 2.0 terbukti berkesan,” katanya.

Najib berkata jika ujian kurang, maka kes baharu juga akan kurang.

“Malah, Ketua Pengarah KKM (Dr Noor Hisham Abdullah) umum pagi ini bahawa kadar kebolehjangkitan Malaysia telah naik semula,” tambah Najib.

Bagaimanapun, Najib mengingatkan orang ramai supaya tetap berjaga-jaga dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) memandangkan virus merebak dengan cepat dalam komuniti.

Baru-baru ini, Dr Noor Hisham berkata, trend penurunan dijangka bermula selepas 27 Januari dalam tempoh dua minggu terakhir PKP.

“Harapan kami adalah jika kita melaksanakan PKP selama empat minggu diikuti oleh PKPB, kita akan menyaksikan kes sebanyak dua digit pada 11 Mei,” katanya. – 13 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen