Ketua pengarah kesihatan harap pertambahan kes baharu Covid-19 stabil


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata R-naught turun kepada 1.06 dari 1.2. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2021.

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berharap kadar jangkitan kes baharu Covid-19 stabil dalam tempoh dua minggu ini sebelum ia menurun. 

Negara melaporkan 3,048 kes baru hari ini. Kali terakhir negara melaporkan jumlah yang lebih rendah berbanding hari ini adalah pada 13 Januari, sebanyak 2,985 kes.

Beliau berkata R-naught turun kepada 1.06 dari 1.2.

Bercakap kepada media semasa sesi dialog khas melalui Zoom hari ini, Noor Hisham berkata trend penurunan dijangka bermula selepas 27 Januari dalam tempoh dua minggu terakhir PKP.

“Harapan kami adalah jika kita melaksanakan PKP selama empat minggu diikuti oleh PKPB, kita akan menyaksikan kes sebanyak dua digit pada 11 Mei.”

Beliau berkata dua minggu akan datang akan menunjukkan sama ada berlaku pergerakan penurunan membuahkan hasil.

Tidak seperti PKP pertama pada Mac yang lalu, sekatan pergerakan kali ini tidak begitu ketat kerana kerajaan ingin menyeimbangkan antara menyelamatkan nyawa dan pendapatan, katanya.

Walaupun PKP sebelum ini menyaksikan kerajaan kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari, ia berkesan membendung virus tersebut.

Noor Hisham menafikan PKPB suatu kegagalan kerana ia berjaya membantu mencegah 4 juta orang daripada dijangkiti.

Beliau berkata masalah asas seperti tempat pekerja yang sempit punca penyebaran virus, perlu diatasi.

Beliau menambah Jabatan Tenaga Buruh dimasukkan bagi tujuan itu.

Beliau berkata PKP diperlukan pada ketika ini untuk membimbing rakyat dengan peraturan.

Sebagai contoh, orang ramai yang berpusu-pusu balik kampung dan kegiatan sosial susulan kelonggaran sekatan pada 7 Disember.

“Sekarang kita harus bermula kembali dan mengambil tindakan drastik dengan mengembalikan PKP.” – 25 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen