KP Kesihatan tak harus tunduk pada kuasa politik, kata Dr Dzulkefli


Nabihah Hamid Chan Kok Leong

Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah tidak harus tunduk pada kuasa politik dalam menjalankan tugasnya menangani penularan Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Februari, 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah tidak harus tunduk pada kuasa politik dalam menjalankan tugasnya menangani penularan Covid-19, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

“Dr Noor Hisham melakukan yang terbaik untuk gelombang pertama dan kedua tetapi gelombang ketiga sedikit keculasan beliau mungkin ditekan orang politik. Jadi tidak dapat dikekalkan prestasi itu.

“Sekiranya keadaan tidak berubah, beliau akan berasa sangat sukar untuk melawan wabak ini,” kata bekas menteri dalam Kabinet Pakatan Harapan kepada The Malaysian Insight.

Memetik pindaan baru-baru ini terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit untuk mengecualikan menteri Kabinet dari kuarantin 10 hari penuh selepas pulang dari tugasan luar, Dr Dzulkefly berkata bahawa kerajaan tidak bertindak sesuai dengan prinsip sains dan kawalan penyakit.

Pemimpin Amanah ini berkata situasi berkenaan sama dengan Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan pada akhir September tahun lalu.

“Saya hanya boleh menyebutkan ketika ketua pengarah melakukan sesuatu jelas salah umpama dari Sabah. Menteri diizinkan tiga hari kuarantin. Sebab kuarantin kita tidak boleh tolak ansur.

“Saya ingatkan beliau jangan tunduk kepada politik dan sedia dengar kepakaran persatuan perubatan kesihatan yang lain,” katanya.

Dr Dzulkefly yang juga Ketua Pasukan Petugas Covid-19 Selangor bagaimanapun berhenti sejenak berkata bahawa Dr Noor Hisham perlu diganti.

“Tidak ada orang yang lebih baik daripada orang lain. Kita mesti mendengar semua pakar yang berbeza-beza – pakar perubatan, pakar epidemiologi dan data sains. Beliau tidak boleh bergantung hanya pada satu atau dua pakar.

“Kepimpinan adalah melibatkan pakar lain untuk mengatasi masalah yang sama,” katanya.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pelbagai pakar kesihatan dan ahli politik pembangkang menyatakan keprihatinannya terhadap protokol baharu Kementerian Kesihatan termasuk menghentikan ujian saringan terhadap kontak rapat yang tidak bergejala.

Hanya mereka yang menunjukkan simptom dan mempunyai kontak rapat dengan kes positif yang akan diuji.

Langkah baharu yang lain adalah untuk kes positif yang tidak bergejala atau mempunyai gekala ringan untuk mengasingkan diri di rumah.

Strategi-strategi ini dibuat ketika sistem penjagaan kesihatan awam ketika ini dibebani dengan lebih 50,000 kes virus aktif.

Sejak tahun lalu, ada saranan untuk kementerian melakukan ujian beramai-ramai lebih awal termasuk penglibatan lebih ramai pakar dan untuk melakukan pengesanan kontak yang lebih cepat.

Dr Dzulkefly bukanlah yang pertama mengisytiharkan bahawa Dr Noor Hisham perlu melibatkan lebih ramai pakar dalam pertarungan menentang Covid-19 kerana bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga telah menulis mengenai hal itu.

Ahli Parlimen Langkawi itu mengucapkan tahniah atas kejayaan Dr Noor Hisham menangani wabak itu tetapi menambah bahawa seorang sahaja “tidak cukup”.

“Idea orang lain juga perlu dipertimbangkan, oleh itu kenapa panel doktor akan menjadi idea yang bernas,” kata Dr Mahathir.

Naib Presiden Umno Khaled Nordin baru-baru ini juga berkata, wabak itu merebak bukan hanya menjadi masalah kesihatan tetapi juga isu nasional dan Dr Noor Hisham berdepan dengan masalah di luar jangkauan atau kuasanya. – 12 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen