SETAHUN selepas wabak Covid-19, sudah tiba masanya Malaysia mempunyai ketua baharu untuk memimpin pertempuran melawan wabak itu, kata Mohamed Khaled Nordin.
Naib presiden Umno itu berkata pemimpin baharu diperlukan bagi pendekatan negara yang baharu untuk memerangi Covid-19 ketika pandemik kini menjadi krisis nasional.
Katanya, Kementerian Kesihatan tidak lagi dapat bekerja dalam silo dan pasukan antara kementerian, multi-jabatan, multi-agensi kini diperlukan untuk bertindak balas dengan cepat terhadap sifat pandemik yang berubah dengan cepat.
“Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham Abdullah) telah berusaha tanpa lelah untuk memastikan Malaysia daripada tenggelam. Walaupun begitu, situasi kini berkembang menjadi isu pelbagai aspek di luar kuasanya.
“Apa yang kita perlukan adalah ketua baharu, bukan untuk menggantikan peranan ketua pengarah kesihatan, tetapi yang akan mengambil alih tugas untuk memimpin usaha kolektif antara kementerian bagi menghadapi krisis ini.
“Ketua baharu akan fokus memerangi Covid-19 dan mengkoordinasikan respons dalam semua bidang termasuk kesihatan, keselamatan, kebajikan, dan ekonomi.
“Sudah tiba masanya bagi kita tidak menganggap ini sebagai krisis kesihatan, tetapi masalah negara,” kata bekas menteri besar Johor itu dalam satu kenyataan hari ini.
Khaled berkata menjelang Mac, genap setahun sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan tetapi keadaan tidak banyak yang berubah.
Beliau berkata wabak itu menjejajskan kehidupan ramai orang dan negara, termasuk Malaysia.
“Pada Mac nanti, genap setahun sejak PKP pertama, namun, keadaan kita tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan permulaan PKP.” – 2 Februari, 2021.
Berita penuh di sini
Komen