Pengecualian 3 hari bukan sebab PM tak mahu kuarantin, kata JPM


Jabatan Perdana Menteri menjawab tuduhan Mohd Puad Zarkashi dan menggesa Ahli Majlis Tertinggi Umno minta maaf atau sedia disaman fitnah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2021.

TEMPOH kuarantin hanya tiga hari untuk anggota Jemaah Menteri bukan kerana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin enggan menjalani pengasingan selepas pulang dari lawatan rasmi ke Indonesia, minggu lalu, kata Pejabat Perdana Menteri (JPM).

Muhyiddin sebaliknya kini sedang menjalani kuarantin di rumah sejak pulang dari Jakarta pada 5 Februari lalu, kata JPM dalam satu kenyataan.

“Perdana Menteri telah diserahkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah dan dipakaikan gelang pengawasan setibanya dari Jakarta pada Jumaat 5 Februari 2020.

“Beliau pada masa ini sedang menjalani kuarantin di rumah,” kata kenyataan itu.

Kenyataan yang dihebahkan melalui laman Facebook Muhyiddin turut memaparkan dua foto Muhyiddin dipakaikan gelang merah jambu oleh pegawai Kementerian Kesihatan.

Kenyataan itu dikeluarkan petang ini sebagai menjawab tuduhan Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi yang mendakwa pengecualian kuarantin yang dibenarkan oleh Menteri Kesihatan, yang diwartakan semalam, dibuat kerana Muhyiddin enggan menjalani kuarantin.

Dalam satu tulisan di Facebook awal hari ini, Puad mendakwa berlaku kekecohan di lapangan terbang di Subang semasa rombongan Muhyiddin pulang dari Jakarta.

“Pegawai Kementerian Kesihatan sudah menunggu untuk urusan kuarantin bila rombongan PM sampai dari Jakarta. Katanya mereka tidak mahu kuarantin 10 hari? Rakyat perlu penjelasan.

“Itu sebab Menteri (Dr Adham Baba) keluar surat arahan baru melalui Warta Persekutuan. Kuarantin cuma 3 hari,” tulis Puad, yang turut bertanya apakah wujud kuarantin antara dua darjat.

Puad juga berkata tiada sebab untuk Muhyiddin ke Jakarta kalau kononnya hanya untuk membincangkan isu pembukaan laluan hijau antara Malaysia dan Indonesia.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, tuduhan Puad adalah satu fitnah yang berniat jahat untuk mencemarkan nama baik Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Tindakan undang-undang akan diambil ke atas beliau sekiranya gagal memohon maaf secara terbuka,” tambah kenyataan itu.

Pengecualian yang ditandatangani oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada 2 Februari lalu diwartakan semalam.

Pengecualian itu bagaimanapun berkuat kuasa bermula hari ini (9 Februari) sehingga 1 Ogos, iaitu tarikh sama pelaksanaan perintah darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 12 Januari lepas.

Pengecualian kuarantin 10 hari untuk menteri itu bagaimanapun mencetuskan kritikan dan kemarahan orang ramai, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak yang menyifatkannya satu keputusan yang bakal mengundang bahaya penularan Covid-19.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan keputusan itu memalukan kerana memberi keistimewaan kepada menteri, sementara ahli kesihatan berpendapat ia keputusan yang tidak masuk akal.

Muhyiddin mengadakan lawatan dua hari ke Jakarta pada 4 dan 5 Februari lain atas jemputan Presiden Indonesia Joko Widodo. Ia adalah lawatan pertama sejak jadi perdana menteri pada 1 Mac 2020.

Dalam lawatan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu kerjasama dua hala antara dua negara termasuk soal diskriminasi pasaran minyak sawit oleh blok Eropah dan  hak kebajikan pekerja Indonesia di Malaysia. – 9 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • ha, ha, ha, sudah bergaduh ni sama-sama parti memerintah. patutlah encik mohyiddin isytiharkan darurat. semakin jelas dan ketara kepincangan yang berlaku di dalam kerajaan yang mengamalkan rampasan kuasa. boo, boo, boo.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Siong wee patrik · Ulasan