Menteri balik luar negeri tak perlu kuarantin 10 hari, kata warta kerajaan


Warta kerajaan yang ditandatangani oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menyatakan menteri yang baru kembali dari luar negara hendaklah menjalani pemerhatian selama tiga hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2021.

MENTERI yang kembali dari tugas rasmi di luar negara akan dikecualikan daripada Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan hanya akan dipantau selama tiga hari, menurut Warta Kerajaan Persekutuan.

Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 akan berkuatkuasa sehingga 1 Ogos, iaitu sepanjang tempoh darurat. 

“Jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara hendaklah menjalani pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai,” kata syarat pengecualian Akta 342 itu.

Seksyen 15 akta ini memperuntukkan: “Seseorang pegawai diberi kuasa boleh memerintahkan supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat dan bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya patut, atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.”

Di bawah peraturan sedia ada, rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara perlu menjalani kuarantin selama 10 hari. 

Warta itu ditandatangani oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Sebelum ini Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali menerima kritikan kerana berada di tempat umum selepas kembali dari Turki yang dilanda Covid-19. 

Pada Ogos, beliau didenda RM1,000 setelah gagal mematuhi peraturan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan. 

Beliau turut meminta maaf dan berkata akan menderma satu bulan gajinya. 

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga dikritik kerana tidak mengambil tindakan terhadap Khairuddin walaupun memberitahu rakyat Malaysia bahawa kerajaan  tidak akan mengamalkan double standard dalam menghukum mereka yang melanggar prosedur operasi standard dan peraturan kuarantin. – 8 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen