KEISTIMEWAAN kuarantin tiga hari yang diberi kepada menteri jelas menunjukkan sikap tidak serius dan berat sebelah kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19, kata Lim Guan Eng.
Bekas menteri kewangan berkata layanan khas terhadap menteri, menunjukkan kerajaan tidak serius mematuhi prosedur operasi standard memerangi wabak tersebut.
“Sikap double standard dan tidak acuh seperti itu boleh menjadi sebahagian penyumbang kepada peningkatan jangkitan Covid-19 baru-baru ini,” kata ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan.
Beliau berkata dengan hak istimewa tersebut, para pemimpin kerajaan terus mempertahankan jawatan mereka, walaupun kehilangan majoriti Parlimen.
Beliau juga mengecam kerajaan kerana mengeluarkan perisytiharan darurat untuk memerangi Covid-19 sedangkan ia tidak lebih sekadar alat kepada kerajaan untuk meluluskan undang-undang dan peraturan yang memberi kelebihan kepada pihaknya sendiri.
“Dengan Parlimen digantung di bawah Pengisytiharan Darurat, tiada lagi pertanggungjawaban, dan kerajaan tidak lagi boleh dipersoalkan mengenai alasan mengapa para menteri perlu dikuarantin hanya tiga hari, bukan 10 hari selepas kembali dari perjalanan rasmi ke luar negara.
“Jelas bahawa penggantungan Parlimen tiada kaitan dengan pengurangan jumlah jangkitan Covid-19, tetapi dalih tidak jujur kerajaan PN untuk meluluskan undang-undang dan peraturan mengikut kehendak sendiri,” katanya.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dalam arahan yang dikeluarkan malam tadi mengumumkan anggota Kabinet hanya perlu dikuarantin selama tiga hari dan bukannya 10 selepas kembali dari luar negara.
Mulai hari ini, menteri yang pulang dari tugas rasmi di luar negara akan dikecualikan dari Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara hendaklah menjalani pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai,” kata pengecualian itu.
Perintah akan berkuatkuasa sehingga 1 Ogos 2021. – 9 Februari, 2021.
Komen