PERATURAN yang mengecualikan menteri yang pulang lawatan rasmi luar negara daripada menjalani pemerhatian atau pengawasan 10 hari berisiko menyebabkan varian baharu Covid-19 menular dalam negara, kata Najib Razak.
Bekas perdana menteri itu mengulas warta yang dikeluarkan semalam, bahawa menteri yang pulang dari lawatan rasmi di luar negara akan dikecualikan daripada Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan hanya akan dipantau selama tiga hari.
Beliau mempersoalkan kelonggaran tersebut, menegaskan tempoh inkubasi virus Covid-19 secara puratanya mengambil masa lima hingga enam hari.
“Ada bahayanya jika mereka yang telah dijangkit akan salah dilepaskan terlalu awal lalu menjangkiti ramai lagi orang setelah tersalah sangka mereka bebas Covid-19.
“Lagi bahaya jika jangkitan yang tersalah lepas ialah dari luar negara sebab ada kebarangkalian ianya mutasi Covid-19 baru yang lebih ganas seperti mutasi UK dan mutasi Afrika Selatan,” katanya di Facebook.
Ahli Parlimen Pekan itu memberikan contoh tiga Adun yang dijangkiti Covid-19 selepas beberapa hari atau seminggu pulang dari Pilihan Raya Negeri Sabah pada September lalu, iaitu Ayer Limau, Maharani dan Kg Tunku.
Najib seterusnya bimbang jika sistem penjagaan kesihatan awam tidak dapat bertahan jika mutasi virus Covid-19 yang mudah menular merebak dalam negara ketika 51,000 kes aktif direkodkan ketika ini. Kebimbangan itu ditambah lagi apabila sistem penjagaan kesihatan awam negara berada pada tahap kritikal.
Malaysia semalam mencatat 3,100 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 245,552, dengan 51,977 kes aktif. – 9 Februari, 2021.
Komen