Tujuh NGO cabar darurat di mahkamah, dakwa tidak selari Perlembagaan


Zaim Ibrahim

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Thomas Fann berkata, beberapa badan NGO telah mengemukakan saman terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Malaysia bagi mendapatkan deklarasi mahkamah tentang isu berkenaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2020.

TUJUH organisasi masyarakat sivil telah memfailkan saman kepentingan awam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan persekutuan yang menuntut pengisytiharan Darurat pada 12 Januari adalah tidak sejajar dengan Perlembagaan.

Kumpulan-kumpulan masyarakat sivil yang terkenal dengan agenda memperkasakan demokrasi berparlimen dan melindungi ruang sivil itu secara khusus mencabar pengisytiharan di bawah Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) dan dan Artikel 150 (8) Perlembagaan Persekutuan kerana dilihat tidak selari dengan Perlembagaan.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Thomas Fann berkata, beberapa badan NGO telah mengemukakan saman terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Malaysia bagi mendapatkan deklarasi mahkamah tentang isu berkenaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

“Kami bimbang perisytiharan darurat dan Ordinan Darurat telah menyebabkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak dapat memenuhi kewajiban perlembagaan mereka sebagai tempat perbahasan dan pengundian bagi Ordinan Darurat.

“Kami juga khuatir kesan utama Ordinan Darurat adalah penggantungan Parlimen sedangkan kerajaan, badan kehakiman dan sektor swasta  berjalan seperti biasa, dengan terikat dengan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa.

“Kami ingin mahkamah mengisytiharkan sekiranya mereka mempunyai kuasa untuk menyemak sebarang percubaan untuk memintas peruntukan
Perlembagaan yang memerlukan semua undang-undang dibawa ke Parlimen terlebih dahulu,” kata beliau dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi aplikasi Zoom.

Jelasnya, secara khusus mereka mahu mahkamah mengisytiharkan Ordinan Darurat adalah tidak berperlembagaan.

Selain Bersih 2.0, NGO lain yang  bersama  dalam tindakan mahkamah itu adalah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Center for Independent Journalism (CIJ), Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), Aliran Kesedaran Negara (Aliran) dan Save Rivers.

Tambah Thomas, kehilangan semak dan imbang dalam demokrasi berparlimen akan memusnahkan negara dan mewujudkan kerajaan yang kleptokratik.

“Kami melakukan litigasi ini demi kepentingan umum untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang dan sistem semak imbang serta untuk mendapatkan keputusan badan kehakiman berkenaan isu-isu terkait dengan Ordinan Darurat.

“Atas nama kepentingan awam kami melakukan cabaran kehakiman supaya mahkamah dapat menentukan kuasa keperlembagaan parlimen dan badan kehakiman dalam mempertahankan sistem semak dan imbang negara kita,” ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim juga memulakan tindakan mahkamah untuk mencabar kuasa Muhyiddin Yassin yang menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Parlimen di bawah perisytharan darurat.

Peguamnya, Ramkarpal Singh berkata, nasihat perdana menteri itu bertentangan dengan undang-undang serta tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Tiga wakil rakyat daripada Pakatan Harapan turut mencabar keabsahan penggantungan dewan undangan negeri (DUN) apabila memohon
kebenaran daripada mahkamah untuk semakan kehakiman terhadap perkara itu.

Tiga wakil rakyat negeri itu ialah Adun Simpang Jeram (Johor) Salahuddin Ayub, Adun Gurun (Kedah) Johari Abdul dan Adun Tebing Tinggi (Perak) Dr Abdul Aziz Bari, masing-masing dari Amanah, PKR dan DAP.

Salahudin dan Johari, yang juga ahli Parlimen Pulai dan Sungai Petani, turut mempertikaikan tindakan perdana menteri untuk menggantung Parlimen. – 2 Februari, 2021.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen