Darurat untuk selamatkan kuasa PM, kata Anwar


Chan Kok Leong

Kami merayu kepada Agong untuk menyemak kembali keperluan Darurat. Kami juga memohon Agong untuk segera mengadakan sidang Parlimen khas bagi membahaskan hal ini, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2021.

KERAJAAN minoriti Perikatan Nasional menuntut perintah darurat kerana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti, kata Anwar Ibrahim.

“Ini, saya yakin alasan sebenar kenapa kerajaan tidak stabil. Kedudukannya (Muhyiddin) tidak dapat dipertahankan dan mesti ada mesyuarat tergempar Parlimen untuk menentukan majoriti berada di tangan pembangkang,” kata Ketua Pembangkang dalam sidang media dalam talian hari ini.

Anwar berkata demikian menjawab soalan mengapa Malaysia berada dalam perintah darurat dan adakah ia diadakan untuk menangguhkan sidang Parlimen.

Muhyiddin kini mengetuai kerajaan minoriti setelah 2 ahli Parlimen menarik sokongan mereka bulan ini. Kini hanya 110 dari 222 ahli Parlimen sahaja yang menyokong beliau.

Sebelum itu, Anwar berkata Pakatan Harapan telah mengemukakan rayuannya kepada Yang di-Pertuan Agung semalam.

“Kami merayu kepada Agong untuk menyemak kembali keperluan Darurat. Kami juga memohon Agong untuk segera mengadakan sidang Parlimen khas bagi membahaskan hal ini,” kata presiden PKR itu lagi.

Anwar berkata Agong mempunyai kuasa penuh untuk mengadakan sesi Parlimen khas semasa Darurat.

Katanya, kerajaan Perikatan tidak tahu mengendalikan keadaan setelah mengumumkan Perintah Darurat pada 12 Januari lepas.

“Tidak ada polisi atau program spesifik walaupun ketika mengumumkan Darurat minggu lepas. Ia cuma mengukuhkan kuasanya tanpa memberi perincian,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Tidak ada polisi jelas, kurangnya ketelusan dan perbincangan. Negara-negara ASEAN lain seperti Indonesia, Singapura dan Thailand sudah memulakan program vaksinasi mereka tetapi, di sini, tidak ada apa-apa,” kata Anwar.

Beliau berkata, tidak ada perbincangan dengan pihak berkepentingan mengenai perkara ini.

Sementara itu, Pakatan akan mencalonkan 3 ahli Parlimen untuk menganggotai jawatankuasa bebas untuk Darurat, kata Anwar.

“Setiausaha Agung Pakatan Saifuddin Nasution telah menghubungi menteri dan kami akan mencalonkan tiga orang.”

Anwar berkata, pembangkang menangguhkan penghantaran nama calon kerana perlukan penjelasan terperinci tentang jawatankuasa itu.

“Jawatankuasa bebas itu bukan mengenai bagaimana menguruskan Covid-19 tetapi untuk menentukan bila Darurat akan tamat.

“Kita diberitahu, jawatankuasa itu akan mempunyai 4 ahli Parlimen kerajaan dan 3 ahli Parlimen pembangkang,” tambahnya. – 20 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen