Darurat bukan rampasan kuasa, kata Muhyiddin


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata darurat bukan usaha merampas kuasa, dan ia memberi kerajaan PN menggubal undang-undang bertujuan mengawal pandemik. – Gambar EPA, 12 Januari, 2021.

MUHYIDDIN Yassin memberi jaminan darurat yang diumumkannya hari ini bukan usaha untuk merampas kuasa selepas kerajaannya dilanda krisis ekoran kemerosotan sokongan.

Perdana menteri berkata dengan proklamasi itu, sidang Parlimen digantung dan semua pilihan raya tidak akan diadakan namun perkhidmatan kerajaan awam akan terus berfungsi.

Jelasnya, darurat itu memberi kuasa lebih besar kepada kerajaan Perikatan Nasional untuk menggubal undang-undang, yang bertujuan mengawal pandemik.

“Darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong bukan satu bentuk rampasan kuasa tentera dan  perintah berkurung tak akan dilaksanakan.

“Sebaliknya, sepanjang tempoh darurat kerajaan awam terus berfungsi. Biar saya beri jaminan kerajaan awam akan terus berjalan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung.

Pada masa sama beliau juga menjelaskan ordinan boleh dimasyhurkan untuk memberi kuasa penguatkuasaan lebih besar Angkatan Tentera Malaysi untuk kawalan kesihatan awam.

Jelasnya, selain kuasa sedia ada, tentera boleh diberi kuasa yang diperuntukkan kepada Polis Diraja Malaysia mengikut Kanun Tatacara Jenayah atau undang-undang penguatkuasaan berkaitan.

“Angkatan Tentera Malaysia juga akan diperuntukkan kuasa membantu melaksanakan fungsi berhubung kesihatan awam dan fungsi yang dijalankan pegawai awam berkaitan semasa pandemik ini.”

Tambahnya, kawalan sempadan negara akan diperketatkan dengan memberi kuasa kepada anggota tentera selain polis dan imigresen untuk menangkap pendatang asing tanpa izin dan penceroboh.

Selain itu, Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 boleh dipinda dengan ordinan baharu untuk meningkatkan keberkesana penguatkuasaannya.

“Ini termasuk meningkatkan penalti atau hukuman ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalan wabak Covid-19.”

Tindakan kerajaan mengawal pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu dilaksana melalui siri Perintah Kawalan Pergerakan dengan penguatkuasaan akta tersebut.

Tambahnya, Yang di-Pertuan Agong juga boleh memasyhurkan ordinan untuk memerangi sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang secara keterlaluan dalam masa pandemik.

“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan hukuman lebih berat boleh dikenakan untuk tujuan ini.

“Semua ordinan yang dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan diwartakan dan boleh diketahui oleh rakyat,” katanya.

Perintah darurat itu berkuatkuasa semalam sehingga 1 Ogos.– 12 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen