Kerajaan haram buku takut orang Islam berfikir, kata Zaid Ibrahim


Muzliza Mustafa

Pengharaman ini adalah gambaran menyedihkan tentang kerajaan; bukan tentang buku saya. Masyarakat moden sudah tak haramkan buku. Sebaliknya, mereka mendidik rakyat. Jakim sentiasa takut yang lebih ramai orang Islam bersedia berfikir untuk diri mereka sendiri, kata Zaid Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2017.

PEGUAM dan ahli politik DAP, Zaid Ibrahim berkata tindakan Kementerian Dalam Negeri mengharamkan bukunya tentang Islamisasi di Malaysia menunjukkan pihak berkuasa agama di Malaysia sentiasa takut kepada orang Islam yang berfikir.

Pada 19 Disember lepas, kementerian mengeluarkan arahan mengharamkan buku bertajuk “Assalamualaikum: Ulasan Tentang Islamisasi Di Malaysia” setebal 203 muka surat itu.

Buku yang diterbitkan pada 2015 dan dilancarkan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dikatakan menggugat keamanan awam serta kepentingan rakyat dan berkemungkinan menyinggung pandangan awam.

Zaid berkata beliau percaya buku itu diharamkan atas cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mempersoalkan adakah pegawai kementerian membaca buku itu sebelum memutuskan untuk mengharamkannya.

“Pengharaman ini adalah gambaran menyedihkan tentang kerajaan; bukan tentang buku saya. Masyarakat moden sudah tak haramkan buku. Sebaliknya, mereka mendidik rakyat,” kata Zaid dalam satu mesej pesanan ringkas kepada The Malaysian Insight.

“Untuk mengatakan yang idea saya merbahaya kepada keamanan awam adalah melucukan. Buku ini bukan soal agama, ia soal dasar awam. Islamisasi adalah dasar awam walaupun ia dasar yang pincang,” katanya.

“Pemimpin politik yang menandatangani arahan pengharaman itu mungkin tidakpun membacanya. Cadangan (pengharaman) itu pastinya datang dari Jakim.

Jakim sentiasa takut yang lebih ramai orang Islam bersedia berfikir untuk diri mereka sendiri.”

Zaid berkata beliau akan memfailkan semakan kehakiman bulan depan untuk membolehkan buku itu kembali dijual.

Arahan pengharaman itu dikeluarkan selaras dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 4 Disember.

Di bawah akta tersebut, arahan itu melarang pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan dan pengedaran hasil penerbitan dan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengannya di Malaysia.

Pengharaman buku satu bentuk keganasan

Pada Ogos lalu, penulis Faisal Tehrani menyelar tindakan kerajaan mengharamkan buku sebagai satu pengkhianatan kepada Perisytiharan Kemerdekaan 1957 dan menyifatkannya sebagai satu bentuk “keganasan.”

Katanya, pengharaman buku merupakan simptom sebuah perlembagaan yang gagal melindungi hak asasi dan kebebasan yang sepatutnya dijamin oleh dokumen kenegaraan itu.

“Pengharaman buku di Malaysia, antara lain, merupakan tanda kebangkitan ekstremisme sejagat yang menyekat dan mencabut hak-hak rakyat. Ia satu lagi bentuk keganasan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Festival Sastera Asean ke-4 di Jakarta, Ogos lalu.

Pada Oktober, buku Faisal bertajuk ”Aku ____, Maka Aku Ada!” turut diharamkan oleh KDN menjadikan penulis kontemporari yang paling banyak diharamkan iaitu tujuh naskhah. 

Kerajaan Malaysia hipokrit

Dalam pada itu, pada bulan sama buku Faisal diharamkan, ramai penulis termasuk pelukis komik Zunar menyelar KDN dan kerajaan Malaysia berhubung itu pengharaman itu.

Mereka mempersoalkan mengapa Malaysia tidak menghormati pandangan Wakil PBB mengenai hak kebudayaan Profesor Karima Bennoune baru-baru ini yang melahirkan kebimbangannya terhadap kecenderungan Putrajaya mengharamkan buku.

“Apabila negara lain langgar resolusi PBB seperti Israel, Myanmar dan Korea Utara, Malaysia nak jadi jaguh.

“Apabila terkena batang hidung sendiri, lain pula sikapnya. Ini membuktikan Malaysia hipokrit dan angkuh,” kata Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque kepada The Malaysian Insight. – 28 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen