Tindakan haram buku khianati Perisytiharan Perlembagaan, kata Faisal Tehrani


Looi Sue-Chern

Perdana Menteri Najib Razak merasmikan novel "Perempuan Nan Bercinta" karya Faisal Tehrani tetapi kemudiannya ia diharamkan pada 2014. – Gambar drfaisaltehrani.wordpress.com, 3 Ogos, 2017.

PENULIS Dr. Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani menyelar tindakan kerajaan mengharamkan buku sebagai satu pengkhianatan kepada Perisytiharan Kemerdekaan 1957 dan menyifatkannya sebagai satu bentuk “keganasan”.

Katanya, pengharaman buku merupakan simptom sebuah perlembagaan yang gagal melindungi hak asasi dan kebebasan yang sepatutnya dijamin oleh dokumen kenegaraan itu.

“Pengharaman buku di Malaysia, antara lain, merupakan tanda kebangkitan ekstrmisme sejagat yang menyekat dan mencabut hak-hak rakyat. Ia satu lagi bentuk keganasan,” katanya dalam ucaptama membuka Festival Sastera Asean ke-4 yang berlangsung di Jakarta, malam ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Alwi Ibrahim pada Rabu memaklumkan lapan buku diharamkan sejak Mac kerana kandungannya yang boleh mengelirukan orang ramai, mengancam ketenteraman awam, bertentangan dengan ajaran moral serta lucah.

Lima penerbitan Islam diharamkan selepas kandungannya didapati bertentangan dengan amalan agama Islam di Malaysia, manakala buku sarjana terkemuka Dr Farish A Noor bertajuk From Majapahit to Putrajaya: Searching for Another Malaysia diharamkan kerana “memberikan gambaran negatif tentang keselamatan nasional Malaysia.”

Buku sarjana sains politik dan sejarah itu terbit pada 2005.

Selain lapan penerbitan itu, buku terbitan kumpulan G25 berjudul Breaking the Silence: Voices of Moderation — Islam in a Constitutional Democracy diharamkan minggu lalu mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini), dan ditandatangani Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi pada 14 Jun.

Faizal, felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata keputusan pengharaman itu melanggar hak kedua-dua pencipta karya dan pembaca.

Beliau menyamakan pengawalan, pengharaman dan tapisan karya seni sebagai “menjadikan maruah manusia sebagai tebusan dan mencabul kebebasan pengkarya sebagai seorang manusia.”

Katanya, tafsiran ke atas karya seni adalah hak pembaca, dan pengharaman karya termasuk buku menghalang orang ramai daripada berfikir sendiri, sekali gus memaksa “tafsiran yang autoritatif bertujuan mengawal minda pembaca.”

Faizal berkata tidak dapat disangkal lagi menafikan hak pembaca untuk faham dan mentafsir sendiri adalah satu pelanggaran hak asasi.

Faizal yang bercakap daripada pengalamannya sendiri bukan sosok asing dalam bab pengharaman buku.

Novelnya Perempuan Nan Bercinta yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Najib Razak pada 2012 diharamkan dua tahun selepas itu.

Lima novel lainnya termasuk Karbala dan Sebongkah Batu di Kuala Berang diharamkan pada 2015 dan 2016 atas dakwaan menyebarkan fahaman Syiah.

“Selama bertahun-tahun nama saya dikecualikan daripada antologi, digugurkan daripada buku teks sekolah, dipadamkan daripada silibus universiti dan anehnya, atas nama membela Tuhan, enam buku saya diharamkan,” kata Faizal.

Beliau berkata novelnya yang merakamkan kisah masyarakat Penan di Sarawak, “Bagaimana Anyss Naik ke Langit” sukar masuk ke pasaran.

“Walaupun tidak diharamkan, kedai buku enggan menjualnya. Sekatan komersial ini menunjukkan rasa takut itu sudah berakar,” katanya.

Biarpun lali dengan tindakan haram itu, Faizal menegaskan melawan pengharaman itu ialah dengan terus menulis dan mengangkat cerita yang mahu dibungkamkan.

“Saya masih ada keyakinan kepada sastera, dan dalam perang yang dimulakan oleh pelampau ini, kata-kata dan cerita ternyata senjata sebenar untuk kita melawan.

“Untuk itu, saya akan terus banyak menulis. Maaf, tidak ada kata undur. Tidak ada patah balik.”

Festival sastera Asean itu berlangsung di Kota Tua, Jakarta sehingga 6 Ogos. – 3 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen