Pengharaman buku dedah Malaysia hipokrit


Amin Iskandar

Kartunis Zunar berkata Malaysia sebenarnya tidak menghormati resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2017.

MALAYSIA hipokrit kerana mengkritik negara lain yang tidak menghormati resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) tetapi ia sebenarnya tidak ubah seperti mengata dulang paku serpih, kata pelukis kartun dan penulis buku diharamkan kerajaan baru-baru ini.

Mereka mempersoalkan mengapa Malaysia tidak menghormati pandangan Wakil PBB mengenai hak kebudayaan Profesor Karima Bennoune baru-baru ini yang melahirkan kebimbangannya terhadap kecenderungan Putrajaya mengharamkan buku.

“Apabila negara lain langgar resolusi PBB seperti Israel, Myanmar dan Korea Utara, Malaysia nak jadi jaguh.

“Apabila terkena batang hidung sendiri, lain pula sikapnya. Ini membuktikan Malaysia hipokrit dan angkuh,” kata Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque kepada The Malaysian Insight.

Kerajaan minggu ini mengharamkan buku Zunar “Sapuman: Man of Steal” yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Buku itu merupakan lakaran kartun mengenai Perdana Menteri Najib Razak yang didakwa terlibat dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Buku itu diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri kerana didakwa melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Selain itu, Putrajaya mengharamkan beberapa buku pemikiran Islam yang dianggap boleh mencetuskan keresahan dalam masyarakat termasuk buku penulis prolifik, Faisal Tehrani dan buku terbitan Islamic Reinassance Front (IRF) yang baru-baru ini berkonflik dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Semasa lawatan 10 hari Bennoune ke Malaysia bulan lepas, Faisal atau nama sebenarnya Faizal Musa dan Pengarah IRF Dr Ahmad Farouk Musa bertemu dengannya.

Paku dulang, paku serpih

Malaysia sering kali lantang mengkritik Israel, Myanmar dan Korea Utara kerana melanggar resolusi PBB.

Pengarah Islamic Reinassance Front Dr Ahmad Farouk Musa berkata kerajaan juga belum menunaikan komitmen yang dibuat semasa Semakan Berkala Sejagat (UPR) terakhir pada 2013. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2017.

Putrajaya baru-baru ini mengumumkan sekatan perjalanan rakyat Malaysia ke Korea Utara disebabkan negara itu melanggar resolusi PBB berhubung ujian peluru berpandu.

Zunar berkata laporan PBB yang dikeluarkan baru-baru ini, dengan jelas ada menyebut namanya secara spesifik.

“Seminggu selepas laporan PBB itu keluar, Malaysia haramkan buku saya. Apa maksudnya semua ini? Maksudnya Malaysia langsung tidak menghormati PBB.

“Dalam PBB, Malaysia bukanlah negara biasa-biasa. Ada kerusi dalam Majlis Keselamatan PBB. Maksudnya kalau dalam kerajaan macam anggota Kabinet, dalam negeri macam anggota exco.

“Kalau Malaysia sebagai anggota Majlis Keselamatan PBB tak menghormati gesaan PBB, bayangkanlah apa jenis negara Malaysia ni?” katanya.

Zunar turut mempersoalkan apakah Malaysia tidak malu dengan pengharaman buku baru-baru ini.

“Apabila wakil PBB datang, dia jumpa semua pegawai tertinggi kerajaan. Mereka berbincang,” katanya.

Wajah sebenar

Sementara itu, Dr Farouk berkata Malaysia mempunyai rekod buruk dalam hak asasi manusia walaupun merupakan anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB 2006-2009 dan 2010-2013 kerana menghalang kebebasan berekspresi seperti dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.

“Pengharaman buku baru-baru ini menunjukkan wajah sebenar kerajaan kita.

“Perlu diingat kerajaan masih belum lagi meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Hak-hak Sivil dan Politik (ICCPR), yang merupakan perlindungan undang-undang tertinggi bagi kebebasan berekspresi di peringkat antarabangsa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Buku terbitan kumpulan pemikir IRF yang diharamkan bertajuk Wacana Pemikiran Reformis (Jilid I) dan Wacana Pemikiran Reformis (Jilid II).

Dr Farouk berkata kerajaan juga masih belum menunaikan pelbagai komitmen yang dibuat mereka semasa Semakan Berkala Sejagat (UPR) terakhir pada 2013.

“Pada saya kerajaan hanya pandai memperlihatkan diri mereka sebagai negara sederhana kepada masyarakat antarabangsa tetapi gagal memahami bahasa hak asasi manusia.

“Selain itu mereka juga terus menerus mencabul kebebasan berekspresi termasuk mengharamkan buku,” katanya. – 7 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen