Rakyat Malaysia disekat ke Korea Utara


Kedegilan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un meneruskan program senjata nuklear dan peluru berpandu balistik antara benuanya mencetuskan ketegangan di Semenanjung Korea. – Gambar EPA, 28 September, 2017.

PUTRAJAYA hari ini mengumumkan sekatan perjalanan ke Korea Utara, “berikutan ketegangan memuncak di Semenanjung Korea berhubung ujian peluru berpandu”, kata Wisma Putra dalam satu kenyataan. 

“Larangan akan dikaji semula selepas keadaan kembali normal,” kata Kementerian Luar, dan menambah rakyat Malaysia boleh mengajukan pertanyaan terus kepada pejabatnya. 

Pasukan bola sepak kebangsaan dijadualkan bertemu dengan pasukan Korea Utara dalam saingan pusingan kelayakan AFC Piala Asia 2019 di Pyongyang pada  5 Oktober depan. 

Namun laman web Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih menunjukkan kiraan detik perlawanan itu yang dijadualkan pada Khamis depan, jam 4.30 petang waktu Malaysia di Stadium Kim Il-Sung. 

Selasa lalu, Presiden FAM Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim diberikan penghormatan dengan akses penuh untuk menggunakan ruang udara Korea Utara dalam perjalanan dari Johor ke Pyongyang pada bila-bila masa sahaja.

Pengumuman ini dibuat berikutan pertemuan Tunku Ismail dengan delegasi Korea Utara Kim Yu Song.

Pegawai Diplomat Korea Utara itu diberikan perhatian putera mahkota untuk membincangkan hubungan luar negara dan urusan semasa, serta perlawanan pusingan kelayakan Kumpulan B AFC Piala Asia 2019 yang akan datang.

Korea Utara dituduh mencetuskan ketegangan di Semenanjung Korea dan Asia Timur dengan program senjata nuklear dan ujian peluru berpandu di Pasifik. 

Awal bulan ini, Perdana Menteri Najib Razak, ketika melawat White House berikrar memberikan sokongannya kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk denuklearisasi Korea Utara dan pelaksanaan antarabangsa resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Amerika Syarikat dilaporkan mahu Malaysia memutuskan hubungan dengan Korea Utara, dengan Trump dipetik sebagai berkata: “Beliau (Najib) tidak lagi berurusan dengan Korea Utara dan kami dapati ia sangat penting.”

Malaysia merupakan antara negara di dunia yang mengekalkan hubungan dengan Korea Utara, sejak menjalinkan hubbungan diplomatik dengan negara itu pada 1973. 

Korea Utara membuka kedutaannya di Kuala Lumpur pada 2003 dan Malaysia melakukan perkara sama di Pyongyang setahun kemudian. Rakyat dari kedua-dua negara Malaysia dan Korea Utara boleh berkunjung ke negara masing-masing tanpa memerlukan visa.

Malaysia sebelum ini turut menjadi orang tengah antara AS-Korea Selatan dan Korea Utara. 

Turut dilaporkan Malaysia tahun lalu mengadakan “rundingan sulit” antara diplomat AS dan pegawai kanan Pyongyang di Kuala Lumpur. Ia dilaporkan sebagai satu dialog tertutup tidak rasmi berhubung program ujian senjata nuklear Korea Utara.

Kedua-dua negara turut menjalinkan hubungan perdagangan. The Star pada Disember tahun lalu melaporkan dagangan Malaysia dengan Korea Utara berjumlah RM22.72 juta pada 2015 yang mana eksport sebanyak RM17.54 juta dan import RM5.18 juta.

Namun hubungan dua hala kedua-dua negara itu menjadi tegang dan tercemar selepas Kim Jong-Nam, yang merupakan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un dibunuh dengan racun VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada 13 Februari lalu. 
 
Selepas pihak berkuasa Malaysia memulakan siasatan dan enggan menyerahkan mayat Jong-Nam kepada pegawai Korea Utara, Korea Utara menyelar Malaysia dan mendakwa Malaysia “mempunyai niat jahat” dan bekerjasama dengan Korea Selatan, dengan menuduh Pyongyang menghantar perisiknya untuk pembunuhan itu.

Pada Mac, kedua-dua negara menghalang warganegara masing-masing daripada meninggalkan negara itu. Sehari sebelum itu, kedutaan mereka turut dilabel sebagai “persona non grata” dan dihalau keluar daripada negara ini. 

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi turut mengumumkan rakyat Korea Utara tidak boleh lagi memasuki Malaysia tanpa visa, berikutan ketegangan diplomatik itu. – 28 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen