Vaksin China halal, kata Kementerian Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Vaksin itu telah disahkan halal oleh Halal Services Chongqing yang merupakan pihak berkuasa pensijilan China yang diperakui Jakim. – Gambar EPA, 16 Januari, 2021.

VAKSIN Covid-19 oleh Institut Biologi Perubatan Akademi Sains Perubatan Cina (IMBCAMS) yang akan digunakan dalam ujian klinikal pertama di Malaysia disahkan sebagai halal.

Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan (CCR) dalam Soal Jawab Bertulis (FAQ) yang dikeluarkan hari ini berkata, vaksin itu telah disahkan halal oleh Halal Services Chongqing (HCS) yang merupakan pihak berkuasa pensijilan China yang diperakui Jakim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bulan lalu berkata, vaksin Covid-19 wajib bagi kumpulan yang telah dikenalpasti oleh kerajaan dan dibenarkan untuk orang lain.

Katanya, perkara ini telah diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Sebelum ini, kumpulan anti-vaksin mempersoalkan kandungan vaksin Covid-19.

Berkaitan keselamatan calon vaksin yang dikembangkan oleh institut China itu, ICR berkata, tujuan percubaan vaksin adalah untuk menentukan profil keselamatan inokulasi jangka panjang.

Kementerian Kesihatan memohon 3,000 sukarelawan untuk menyertai percubaan klinikal vaksin Covid-19 pertama di Malaysia.

Hanya mereka yang belum pernah dijangkiti Covid-19 boleh untuk menjalani ujian klinikal itu kerana bekas pesakit yang telah pulih sudah kebal terhadap Covid-19.

Hanya golongan dewasa yang sihat berusia 18 tahun ke atas layak menjadi sukarelawan. Mereka yang mempunyai isu komorbiditi yang terkawal juga boleh menjadi sukarelawan.

Status kesihatan sukarelawan juga akan diperiksa terlebih dahulu sebelum ujian klinikal diadakan.

“Dari kajian sebelum ini, vaksin ini dapat menyebabkan reaksi biasa seperti sakit, bengkak, kemerahan dan gatal di tempat suntikan, keletihan, demam, cirit-birit dan kesan sampingan lain. Namun ia biasanya bersifat sementara dan boleh dirawat.

“Keselamatan jangka masa panjang bagi vaksin ini masih belum diketahui dan kajian vaksin ini bertujuan untuk mengkaji keselamatan vaksin sehingga satu tahun,” tambahnya.

ICR berkata separuh daripada sukarelawan akan menerima vaksin sementara 50% yang lain akan mendapat plasebo. – 16 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen