KKM cari sukarelawan kajian klinikal pertama vaksin Covid-19


KKM sedang mencari sukarelawan untuk menyertai kajian klinikal keberkesanan vaksin Covid-19 di Malaysia. – Gambar Facebook, 16 Januari, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang mencari sukarelawan untuk menyertai kajian klinikal keberkesanan vaksin Covid-19 di Malaysia.

Golongan dewasa yang sihat berusia 18 tahun ke atas layak menjadi sukarelawan.

Kajian klinikal itu akan membabitkan vaksin yang dibangunkan oleh Institut Perubatan Biologi Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS).

Ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin bahawa kajian klinikal itu dijangka membabitkan 3,000 sukarelawan dan akan bermula pada 21 Januari.

Muhyiddin berkata 60%-70% atau 20 hingga 23 juta daripada populasi rakyat Malaysia akan disuntik vaksin bagi mencapai imuniti kelompok.

“Kajian vaksin #covid19 pertama di Malaysia kini mencari sukarelawan yang sihat. Sila hubungi salah satu daripada sembilan hospital kerajaan yang menjalankan kajian ini jika anda berminat untuk turut serta,” kata KKM dalam posting di Facebook.

Imuniti terhadap Covid-19 dan ujian PCR antara faedah diterima oleh sukarelawan.

Bagaimanapun, antara kesan sampingan yang mungkin dialami daripada pengambilan suntikan itu ialah bengkak, kemerahan pada kulit sama ada gatal atau sakit di tempat suntikan.

Selain itu, sukarelawan juga berdepan kemungkinan demam, cirit-birit dan keletihan.

Sembilan hospital terbabit dalam kajian klinikal ini ialah Sungai Buloh dan Ampang di Selangor, Raja Permaisuri Bainon dan Taiping di Perak, Hospital Besar Pulau Pinang dan Seberang Jaya di Pulau Pinang, Sultanah Bahiyah dan Sultan Abdul Halim di Kedah dan Hospital Besar Kuching di Sarawak.

Malaysia membelanjakan hampir RM2.05 bilion untuk memperoleh vaksin untuk 82.8% populasinya.

Ini termasuk urus niaga dengan Covax, Pfizer-Biontech dan AstraZeneca.

Kerajaan juga mengadakan rundingan dengan syarikat China iaitu Sinovac dan CanSinoBIO selain as The Gamaleya di Rusia. – 16 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen