RoS bukan perkakas politik, kata Anwar 


Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata keputusan RoS menolak pendaftaran parti Pejuang dan Muda langsung tidak dapat diterima.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2021.

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak harus digunakan sebagai perkakas politik oleh kerajaan, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, selepas agensi itu menolak pendaftaran dua parti politik baharu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Katanya, RoS mesti menjelaskan alasan penolakan itu yang disifatkan melanggar hak yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan RoS menafikan pendaftaran Pejuang dan Muda langsung tidak dapat diterima.

“Hak-hak ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita mesti mendesak Pendaftar Pertubuhan menyatakan kepada kita semua kenapa dua parti ini tidak boleh didaftarkan.

“Pejabat RoS bukan perkakas politik untuk diperalatkan dan dimanipulasi oleh kerajaan sesuai dengan agenda mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar menjelaskan jabatan itu harus telus dan bertanggungjawab sementara semua anggotanya sedar akan peranan mereka.

Pejuang diterajui oleh Dr Mahathir Mohamad sementara Muda digerakkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas mereka tersingkir dari Bersatu pada Mei tahun lalu susulan krisis dalaman parti.

Pejuang mengemukakan pendaftarannya kepada RoS pada Ogos tahun lalu sementara Muda sebulan kemudian.

Pada Oktober lalu, Pejuang membuat kenyataan terbuka meminta RoS menjelaskan penangguhan dan kelengahan proses pendaftarannya, berbanding pendaftaran Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang lancar, juga pada bulan yang sama.

Muda dalam satu kenyataan awal hari ini mengesahkan menerima makluman penolakan permohonan pendaftarannya oleh RoS tanpa sebarang sebab.

Muda menganggap penolakan tersebut usaha jahat kerajaan Perikatan Nasional untuk menghalang parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, selain mencabul hak asas rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Bergerak ke depan, Muda akan mempertimbangkan segala pilihan yang sedia ada, termasuk tindakan mahkamah,” kata parti itu dalam kenyataannya.

Dr Mahathir dijadual mengadakan sidang media pada petang ini untuk menjawab keputusan RoS.

The Malaysian Insight difahamkan RoS memaklumkan penolakan pendaftaran Pejuang dan Muda melalui emel berasingan kepada pihak pengurusan parti pada petang semalam. – 7 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen