RoS tiada alasan kukuh tolak pendaftaran, kata Muda


Penolakan RoS melanggar hak berperlembagaan Muda untuk membentuk persatuan, kata parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2021.

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tiada sebab kukuh untuk menolak permohonan pendaftaran Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), kata parti itu.

Muda dalam satu kenyatan hari ini berkata penolakan tersebut berniat jahat kerana parti itu telah memberi kerjasama penuh serta mematuhi semua syarat kelulusan pendaftaran.

“Ini adalah usaha jahat kerajaan Perikatan Nasional untuk menghalang Muda, serta penyokongnya, daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya umum yang akan datang.

“Langkah ini juga melanggar hak berperlembagaan Muda untuk membentuk persatuan,” katanya.

Muda berkata RoS memaklumkan permohonannya ditolak menerusi e-mel yang dihantar semalam tanpa memberikan alasan penolakan.

Penolakan juga dimaklumkan selepas hampir 4 bulan Muda menghantar permohonan, tambah kenyataan itu.

“Muda kecewa dengan penolakan RoS. Di pihak Muda, kami telah memberi kerjasama penuh dan telah mematuhi segala syarat untuk pendaftaran.

” Oleh itu, tiada sebab kukuh untuk RoS menolak pendaftaran Muda. 

“Penolakan Muda juga datang sehari selepas pembongkaran skandal keluarga Ahli Parlimen Pasir Salak Dato Seri Tajuddin Rahman berkait projek LRT Dang Wangi,” katanya.

Dalam pada itu, Muda berkata ia akan mempertimbangkan segala pilihan termasuk tindakan mahkamah susulan pendaftarannya ditolak. – 7 Januari, 2021.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen