Syed Saddiq daftar parti Muda


Aminah Farid

Syed Saddiq Abdul Rahman mengemukakan permohonan mendaftar parti Muda di ibu pejabat RoS di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 September, 2020.

SYED Saddiq Abdul Rahman mengemukakan permohonan mendaftarkan parti politik baharunya, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) hari ini.

Bekas menteri belia dan sukan itu ketika ditemui pemberita di ibu pejabat RoS di Putrajaya berkata beliau berharap permohonan tersebut diluluskan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan barisan kepimpinan Muda.

“Saya akan maklumkan (kemudian) struktur kepimpinan,” katanya. 

Sejurus pengumuman Syed Saddiq, beberapa orang individu bagaimanapun sudah tampil di media sosial mendakwa menganggotai jawatankuasa penaja Muda.

Antaranya kalangan aktivis Dr Thanussha Francis Xavier, Amir Abd Hadi, Mutalib Uthman dan Radzi Tajuddin.

Syed Saddiq, yang juga bekas ketua Pemuda Bersatu juga berkata Muda tidak menetapkan had umur ahli parti.

“Muda akan mewakili rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira agama atau bangsa,” tambah beliau.

Parti Muda katanya akan terdiri daripada pemimpin masyarakat, guru, petani dan ramai lagi.

Syed Saddiq tidak menyertai ahli Parlimen bekas Bersatu yang lain yang bersama Dr Mahathir Mohamad membentuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Ahli Parlimen Muar itu antara enam ahli Parlimen Bersatu termasuk Dr Mahathir yang dipecat oleh parti selepas menyokong pembangkang dan tidak mendukung kerajaan Muhyiddin Yassin. 

Dalam wawancara bersama stesen radio BFM pagi tadi, Syed Saddiq mengesahkan partinya akan bertanding dalam pilihan raya. – 17 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen