Pejuang daftar parti di RoS


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pejuang diketuai Mukhriz Mahathir menghantar permohonan penubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 19 Ogos, 2020.

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad hari ini mengemukakan pendaftaran ke pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) di Putrajaya.

Pendaftaran itu dihantar oleh sekumpulan pemimpin parti, diketuai Presidennya Mukhriz Mahathir.

Beliau yang juga ahli Parlimen Jerlun diiringi beberapa ahli Parlimen bekas Bersatu yang gugur keahlian kerana bersama Dr Mahathir, antaranya Dr Maszlee Malik, Dr Shahruddin Md Salleh, dan bekas setiausaha agung Bersatu Marzuki Yahya.

Dr Mahathir bagaimanapun tidak hadir.

Penubuhan parti ini diumumkan oleh Dr Mahathir pda 7 Ogos lalu, bertujuan sebagai wadah baharu untuk menggantikan Bersatu yang mereka dakwa dirampas perjuangannya oleh presiden parti Muhyiddin Yassin yang juga perdana menteri.

Bersatu baru-baru ini menyingkirkan hampir 300 ahlinya termasuk wakil rakyat di negeri dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, yang tidak bersama mendukung kerajaan Perikatan Harapan pimpinan Muhyiddin.

Bersatu sebelum itu mengumumkan pemberhentian keahlian Dr Mahathir dan lima ahli Parlimen lain yang bersamanya kerana menyokong pembangkang.

Bercakap kepada wartawan selepas itu, Mukhriz berkata mereka berharap RoS boleh meluluskan permohonan itu secepat mungkin.

Bekas menteri besar Kedah itu juga berkata Pejuang akan melakukan pemilihan secepat mungkin kerana ia sudah meluluskan pemilihan 12 ahli Majlis Eksekutif.

Beliau turut mengesahkan yang Dr Mahathir akan menjadi pengerusi parti.

“Ramai orang meluahkan minat menyertai kami. Kami akan memulakan proses dalam talian untuk mereka sertai kami.

“Mereka boleh memohon sebaik sahaja parti diluluskan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan maksud logo parti iaitu huruf jawi “Pa” yang berbentuk seakan-akan perisai berserta tiga titik di atasnya dan mempunyai tulisan “PEJUANG” berwarna hitam di bawahnya. Tiga titik mewakili Rukun Iman, Rukun Islam dan Rukun Negara.– 19 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen