Apa jadi dengan pendaftaran Pejuang, tanya penaja parti


Pejuang diasaskan antara lain oleh Dr Mahathir Mohamad selepas krisis kepimpinan Bersatu memaksa beliau dan kumpulan setia dengannya tersingkir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2020.

AHLI jawatankuasa penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mahu permohonan mereka untuk mendaftarkan parti diputuskan segera, tiga bulan selepas mengemukakan permohonan dan langsung tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Putrajaya.

Setiausaha Agung Penaja Amiruddin Hamzah meminta Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan Pendaftar Pertubuhan Masyati Abang Ibrahim memberi jawapan “segera dan jelas” agar pendaftaran Pejuang diluluskan mengikut undang-undang.

“Tiga bulan tanpa sebarang jawapan bertulis adalah tidak munasabah.

“Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia kini kembali menjadi “alat kerajaan"bermotifkan politik sehingga menimbulkan kecurigaan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, keadaan permohonan Pejuang ini sangat berbeza dengan pendaftaran Parti Makkal Sakti Malaysia yang lulus dalam masa dua minggu.

Beliau juga membandingkannya dengan pendaftaran parti pemerintah Perikatan Nasional yang lulus “dengan kadar segera dalam proses yang amat meragukan.”

Pejuang mengemukakan permohonan pendaftarannya ke Pendaftar Pertubuhan pada 19 Ogos, yang diserahkan oleh sekumpulan penajanya ke pejabat agensi itu di Putrajaya.

Pejuang diasaskan oleh bekas pemimpin kanan Bersatu yang “dipecat” daripada parti, diketuai bekas pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Amiruddin, pihak penaja parti sudah enam kali berusaha selepas itu untuk mendapatkan pengesahan status permohonan mereka, antara 15 September hingga 22 Oktober, tetapi langsung tidak dilayan.

Ini termasuk surat-menyurat mereka kepada pihak Pendaftar Pertubuhan malah kepada Hamzah sendiri, yang beliau senarai butirannya dalam kenyataan tersebut.

Pihak penaja Pejuang juga jelas Amiruddin sudah menyerahkan perlembagaan parti yang baharu, seperti yang dicadangkan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan dalam satu pertemuan bersemuka pada 28 September.

Pindaan perlembagaan itu diserahkan pada 2 Oktober, katanya.

Amiruddin juga mendedahkan pihak Pendaftar Pertubuhan tidak menjawab pertanyaan mereka untuk kebenaran menggunakan logo parti serta mengendalikan laman web, yang dibenarkan mengikut undang-undang sementara kelulusan pendaftaran.

Penubuhan Pejuang diumumkan oleh Dr Mahathir pada 7 Ogos lalu untuk menjadi wadah baharu menggantikan Bersatu yang mereka dakwa dirampas perjuangannya oleh presiden parti Muhyiddin Yassin yang juga perdana menteri.

Pada Ogos lalu, Bersatu menyingkirkan hampir 300 ahlinya termasuk wakil rakyat di negeri dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, yang tidak bersama mendukung kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

Bersatu pada hujung Mei mengumumkan pemberhentian keahlian Dr Mahathir dan lima ahli Parlimen lain yang bersamanya kerana menyokong pembangkang.

Dr Mahathir dalam satu kenyataan pada Isnin berharap kerajaan tidak menolak pendaftaran Pejuang serta tidak main politik dalam soal itu. – 29 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen