Nasihat Agong untuk ahli politik kerajaan juga, kata Dr Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad turut berharap pendaftaan parti baharunya Pejuang tidak ditolak oleh kerajaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2020.

AHLI politik dan kerajaan sendiri perlu patut kepada nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya orang politik kurangkan berpolitik, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir.

Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata nasihat Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu tentunya bukan kepada ahli politik pembangkang semata-mata.

“Pejuang juga sambut baik nasihat Yang Maha Mulia Duli Tuanku supaya orang politik kurangkan politik.

“Sudah tentu ini tidak terhad kepada ahli politik pembangkang sahaja, tetapi termasuklah ahli politik kerajaan.

“Oleh itu, diharap sementara ahli politik pembangkang menghormati nasihat Duli Yang Maha Mulia, ahli politik kerajaan dan kerajaan juga henti tindakan politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam konteks itu, Dr Mahathir juga berharap kerajaan tidak menolak pendaftaran parti baharunya, yang dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 19 Ogos lalu.

Pejuang diasaskan oleh bekas ahli Parlimen Bersatu yang dikenakan tindakan lucut keahlian parti kerana tidak menyokong Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya.

Selain tidak menolak pendaftaran Pejuang, Dr Mahathir juga berharap ahli politik kerajaan dan kerajaan tidak lagi melucutkan jawatan orang politik yang tidak menyokong mereka, serta membeli sokongan untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

“Pejuang tetap akan patuh kepada nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya politik di Malaysia menjadi stabil.

“Pejuang sanggup bekerjasama dalam usaha semua pihak menangani ancaman wabak Covid-19,” katanya.

Semalam, selepas berunding dengan Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan permohonan kerajaan Muhyiddin untuk pengisytiharan darurat bagi menangani Covid-19.

Permohonan itu dikemukakan kepada Al-Sultan Abdullah atas persetujuan Jemaah Menteri dalam mesyuarat khas pada Jumaat lalu.

Langkah itu bagaimanapun dicurigai banyak pihak kerana dibuat ketika kerajaan Muhyiddin dilihat sudah hilang majoriti selepas Umno pada 13 Oktober mengancam menarik balik sokongan terhadap kerajaan yang mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Umno membuat ancaman itu selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan bahawa beliau ada sokongan “kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan baharu.

Muhyiddin mengetuai kerajaan Perikatan selepas percaturan politik pada hujung Februari lalu yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang mentabdir di Putrajaya sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

Percaturan politik itu bermula dengan Muhyiddin menarik sokongan partinya kepada PH pada 24 Februari sementara Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri dan pengerusi Bersatu pada hari yang sama.

Bersatu kemudian berpecah antara dua kem sehingga parti mengambil tindakan menggugurkan keahlian Dr Mahathir dan enam ahli Parlimen yang tidak bersama Muhyiddin.– 26 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen