111-108, Belanjawan 2021 lulus


Mohd Farhan Darwis Hailey Chung Wee Kye

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Belanjawan 2021 dengan 111 ahli Parlimen menyokong cadangan kerajaan melalui undian belah bahagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2020.

BELANJAWAN 2021 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini dengan 111 ahli Parlimen menyokong cadangan kerajaan melalui undian belah bahagi selepas ia dikemukakan untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat.

Sejumlah 108 ahli Parlimen menolaknya, dengan seorang ahli Parlimen pula tidak hadir.

Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang-Barisan Nasional) tidak hadir malah tidak terlibat dalam perbahasan Belanjawan 2021 seperti yang beliau umumkan melalui sepucuk surat kepada Yang di -Pertua Dewan Rakyat bertarikh 19 November.

Keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun selepas Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 selesai dibahas dan diputuskan di peringkat jawatankuasa, hari ini.

Belanjawan 2021 diluluskan pada peringkat dasar pada 26 November lalu secara undian suara selepas ahli Parlimen pembangkang gagal mendapatkan undian belah bahagi.

Usul untuk undian belah bahagi ditolak kerana tidak mendapat sokongan sekurang-kurangnya 15 wakil rakyat seperti yang ditetapkan mengikut peraturan mesyuarat.

Pada ketika itu, hanya 13 ahli Parlimen bangun menyokong usul untuk undian belah bahagi.

Belanjawan 2021 dibahas dan diputuskan di peringkat jawatankuasa sejak 30 November lalu, melibatkan 27 kementerian. Peruntukan untuk 18 kementerian diluluskan melalui undian suara, sementara sembilan lagi kementerian lulus secara undian belah bahagi.

Awal hari ini, Dewan Rakyat yang bersidang pada peringkat jawatankuasa meluluskan peruntukan untuk Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi secara undian suara.

Kelulusan Belanjawan 2021 hari ini menamatkan ujian keabsahan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin – setakat ini.

Kerajaan dengan majoriti tipis ini masih berhadapan dengan 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya, yang bagaimanapun dijangka tidak akan muncul untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat yang bersidang sejak 2 November dijadual akan ditangguhkan pada Khamis ini ke satu tarikh yang akan datang pada tahun depan. Ia bersidang selama 29 hari pada sesi terakhir bagi tahun ini.

Sesi ini memberi fokus pada cadangan belanjawan kerajaan yang menyediakan peruntukan perbelanjaan sebanyak RM322.5 bilion, yang terbesar pernah dirangka demi untuk menangani kesan penularan wabak Covid-19 dari segi kesihatan dan ekonomi. – 15 Disember, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen