Dr M, Ku Li tawar bantu bentuk kerajaan jika Perikatan runtuh esok


Kamles Kumar

Mereka menyeru anggota Dewan Rakyat mengetepikan kepentingan peribadi sebaliknya mengutamakan kepentingan negara untuk menjadikan Malaysia sebagai kuasa ekonomi Asia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Disember, 2020.

DR Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh menawarkan kesediaan untuk membantu usaha pembentukan sebuah kerajaan baharu sekiranya kerajaan Perikatan Nasional tumbang apabila Belanjawan 2021 dikemukakan untuk undian pada bacaan ketiga di Dewan Rakyat esok.

Dalam satu sidang media bersama, dua ahli politik yang lama berseteru ini mengumumkan mereka sedia sama-sama membantu untuk menyelamatkan negara daripada ahli politik yang hanya hendak berpolitik.

Mereka juga menyeru anggota Dewan Rakyat untuk mengetepikan kepentingan peribadi sebaliknya mengutamakan kepentingan negara untuk menjadikan Malaysia – sekali lagi – sebagai kuasa ekonomi Asia.

“Ada kemungkinan esok apabila belanjawan diundi pada bacaan ketiga, ada kemungkinan kerajaan akan kalah.

“Saya harap ahli Parlimen akan mula fikir bukan tentang diri mereka tetapi negara.

“Wakil rakyat yang sayang negara mereka jangan pilih parti, jangan pilih untuk diri sendiri tetapi pilih untuk negara,” kata Dr Mahathir dalam sidang media bersama Tengku Razaleigh di Kuala Lumpur, petang ini.

Dr Mahathir mendedahkan beliau dan Tengku Razaleigh didatangi oleh banyak pihak yang meminta panduan serta bantuan untuk menyelamatkan negara yang kini berdepan dengan masalah ekonomi susulan penularan pandemik Covid-19.

“Ada kawan-kawan dan ahli profesional yang mencari kami dan bertanya apa yang kami boleh buat. Kami berharap akan dapat sokongan untuk melaksanakan idea yang ada.

“Kami mahu berkhidmat untuk negara dan bantu memajukan negara untuk rakyat,” kata Dr Mahathir.

Mereka juga berharap kegemilangan dan kejayaan Malaysia pada suatu masa dahulu, yang dianggap antara kuasa ekonomi Asia, dapat dicapai semula.

Bagaimanapun Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh tidak menjelaskan kedudukan jawatan perdana menteri sekiranya ada keperluan apabila kerajaan sedia ada tumbang.

Menurut Tengku Razaleigh, kerajaan Perikatan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang dibentuk selepas percaturan politik pada Februari lalu yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan, tidak stabil kerana tidak mempunyai keabsahan.

“Oleh sebab tidak stabil, tiada siapa yang akan menaruh kepercayaan bukan saja kepada politik tetapi ekonomi,” katanya.

“Saya percaya rakyat sanggup tampil ke hadapan untuk memajukan negara. Kita yang tua ini hanya boleh memandu,” katanya.

Dr Mahathir kini berumur 95 tahun sementara Tengku Razaleigh, 83.

“Perjumpaan hari ini untuk memulakan langkah yang baharu,” tambahnya. 

Tengku Razaleigh yang bertelagah jalan politik dengan Dr Mahathir pada hujung dekad 80-an berkata ini kali pertama beliau menyertai sidang media bekas perdana menteri itu sejak Mei 2018.

“Kami bekerjasama dan bertukar idea bagaimana hendak mengembalikan kegemilangan negara,” katanya.

Beliau yang juga pengerusi Jemaah Penasihat Umno juga yakin dapat memujuk beberapa ahli parlimen Umno untuk menyertai usaha mereka – 14 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen