Ku Li tidak ikut bahas Belanjawan 2021, pertikai majoriti kerajaan Muhyiddin


Ku Li menyampaikan berhubung usul tidak percaya dalam sepucuk surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun. Salinannya tersebar di media sosial sejak awal hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2020.

TENGKU Razaleigh Hamzah tidak akan menyertai perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat selagi majoriti yang ada pada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Rakyat tidak diputuskan terlebih dahulu.

Ahli Parlimen Gua Musang itu menyampaikan pendiriannya dalam sepucuk surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, yang salinannya tersebar di media sosial sejak awal hari ini.

Dalam surat bertarikh 19 November itu, Tengku Razaleigh sekali lagi mengkritik sikap Azhar yang enggan membenarkan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin diputuskan oleh di Dewan Rakyat.

“Oleh kerana kesahihan kerajaan kini masih belum ditentukan, saya terikat dengan suara hati dan sumpah jawatan yang telah saya lafazkan. Maka itu saya tidak dapat mengambil bahagian dalam perbahasan belanjawan ini,” tulisnya dalam surat itu. 

Tengku Razaleigh bagaimanapun tidak menyebut sama ada beliau akan terlibat dalam pengundian Belanjawan 2021 yang dijadual berlangsung pada Khamis ini.

Seorang pegawai di pejabat Tengku Razaleigh mengesahkan surat itu.

Dalam suratnya, ahli Parlimen 11 penggal itu berkata, beliau akan menggadai prinsip utama perlembagaan sekiranya terlibat dalam urusan Belanjawan 2021, yang seterusnya akan menjejaskan usaha menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

Ia juga akan membuka jalan kepada rasuah politik untuk mengekalkan kuasa yang bertentangan dengan perlembagaan.

“Saya berpendapat bahawa ‘rasuah politik akan menjahanamkan sistem demokrasi berpelembagaan kita dari dalam tidak ubah seperti ulat yang memusnahkan tunas dan bunga tanpa disedari. 

“Pendapat di kalangan orang ramai adalah ‘rasuah politik’ dan wang akan memusnahkan negara tercinta ini dan sistem politik kita,” katanya. 

Azhar sebelum ini menegaskan beliau tidak ada kuasa untuk mendahulukan usul persendirian di Dewan Rakyat melainkan ia diangkat oleh wakil kerajaan. Katanya, seperti juga amalan di Parlimen lain di beberapa negara anggota Komanwel, beliau terikat dengan peraturan mesyuarat.

Sebelum surat terbaharu ini, Tengku Razaleigh pada 25 September menulis surat kepada Azhar bertanyakan status usul tidak percaya terhadap perdana menteri yang belum lagi didengar oleh Dewan Rakyat.

Dalam jawapan balasnya bertarikh 29 September, Azhar meminta Tengku Razaleigh supaya berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan untuk usul persendirian diberikan keutamaan oleh kerajaan.

Dalam surat terbaharunya, Tengku Razaleigh membidas jawapan Azhar.

Katanya, usul undi tidak percaya adalah persoalan perlembagaan berkenaan keabsahan kerajaan, dan ia bukan usul persendirian.

Keduanya, kata beliau, menteri undang-undang tiada urusan dalam menentukan boleh atau tidak boleh usul undi tidak percaya terhadap kerajaan dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Mencadangkan isu sebegitu penting tertakluk kepada persetujuan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) adalah tidak mematuhi perlembagaan dan merupakan pencerobohan terhadap kebebasan dan kemerdekaan Dewan Rakyat daripada segala jenis kawalan oleh Badan Eksekutif,” katanya. 

Surat terbaharu Tengku Razaleigh muncul ketika majoriti Muhyiddin di Dewan Rakyat semakin tipis, dengan 112 kerusi berbanding 108 kerusi di blok pembangkang.

Dua kerusi kosong susulan kematian penyandangnya iaitu Liew Vui Keong (Batu Sapi-Warisan) dan Hasbullah Osman (Gerik-Barisan Nasional).

Tanpa sokongan Tengku Razaleigh, Muhyiddin hanya ada 111 sokongan untuk meluluskan Belanjawan 2021 – dengan tanggapan beliau mempunyai dukungan padu semua baki ahli Parlimen dari Umno. – 22 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen