Putuskan segera usul tidak percaya terhadap PM, gesa Ku Li


Tengku Razaleigh Tengku Hamzah menggesa usul keabsahan kepimpinan Muhyiddin Yassin didengar dan diputuskan Dewan Rakyat dengan segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2020.

TENGKU Razaleigh Hamzah mahu Dewan Rakyat mendengar dan memutuskan segera usul tidak percaya yang telah dikemukakan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam sepucuk surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dua minggu lalu, ahli Parlimen Gua Musang berkata usul itu perlu diberi keutamaan supaya Dewan Rakyat dapat menentukan keabsahan kerajaan pimpinan Muhyiddin.

“Saya berpendapat bahawa usul tersebut seharusnya dikemukakan kepada Dewan Rakyat sebagai perkara penting yang memerlukan perhatian segera agar kerajaan kepimpinan Perdana Menteri kini dapat mengesah kewajarannya di Dewan Rakyat,” kata Tengku Razaleigh dalam surat itu.

Dari segi perlembagaan pula, tambahnya, tiada peruntukan dalam tatacara tetap Dewan Rakyat yang boleh menghalang usul tidak percaya itu daripada disegerakan.

“Dengan hormatnya, saya mohon jaminan agar usul tidak percaya ini akan dibentang di Dewan Rakyat sebagai suatu keutamaan pada persidangan akan datang ini,” katanya.

Malah Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan juga memberi kuasa kepada Majlis Parlimen “mengawal selia tatacaranya sendiri”, kata Tengku Razaleigh.

Surat Ahli Parlimen Gua Musang kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat bertarikh 25 September itu dikeluarkan oleh pejabat Tengku Razaleigh hari ini.

Surat itu didedahkan kepada umum sehari selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau kini ada sokongan 120 ahli Parlimen untuk membentuk sebuah kerajaan baharu menggantikan kerajaan Muhyiddin.

Tengku Razaleigh kini merupakan ahli Parlimen yang paling lama memegang jawatan, terpilih sebagai wakil rakyat selama 11 penggal sejak 1974. Beliau juga sekarang mempengerusikan Jemaah Penasihat Umno.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga Ahli Parlimen Langkawi sebelum ini mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin, yang diterima oleh Speaker Dewan Rakyat terdahulu Mohamad Ariff Md Yusof pada 8 Mei.

Usul itu bagaimanapun tidak dibawa untuk dibahas dan diputuskan dalam sidang Dewan Rakyat pada Mei dan Julai lalu.

Dr Mahathir malah mendakwa sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei sengaja diatur berjalan hanya sehari bagi mendengar titah diraja kerana mahu menyekat usul yang beliau kemukakan.

“Pencadang usul ini mendakwa bahawa YAB Perdana Menteri sebanyak dua kali enggan membenarkan usul ini dibahaskan dengan cara menyenaraikannya di pehujung senarai perbahasan,” tulis Tengku Razaleigh dalam suratnya.

Menurut Tengku Razaleigh, beliau menulis surat itu demi menjaga sumpah jawatannya sebagai ahli parlimen yang dituntut untuk “melaksanakan tugas dengan penuh kesetiaan” di samping “memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan”.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menafikan usul tidak percaya itu disenaraikan di penghujung seanarai kertas aturan urusan mesyuarat harian kerana perdana menteri tidak membenarkan ia dibahaskan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2020.

Jawapan Speaker Dewan Rakyat

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dalam surat balasannya bertarikh 29 September berkata beliau terikat dengan peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang menyatakan urusan kerajaan hendaklah didahulukan berbanding urusan lain.

Azhar juga menafikan usul tidak percaya itu disenaraikan di penghujung seanarai kertas aturan urusan mesyuarat harian kerana perdana menteri tidak membenarkan ia dibahaskan.

“Usul tersebut telah disenarai di dalam aturan urusan mesyuarat mengikut peraturan-peraturan mesyuarat, namun urusan kerajaan perlu didahulukan seperti yang termaktub di bawah peraturan-peraturan mesyuarat,” kata Azhar.

Mengenai jaminan yang dipohon oleh Tengku Razaleigh agar usul tidak percaya itu diberi keutamaan, Azhar sekali lagi berkata beliau terikat dengan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Azhar juga berkata beliau tiada masalah untuk usul persendirian didengar oleh Dewan Rakyat setelah selesai semua urusan kerajaan ataupun diusulkan oleh menteri untuk diberikan keutamaan.

Azhar juga meminta Tengku Razaleigh supaya berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan untuk usul persendirian diberikan keutamaan oleh kerajaan.

“Sepertimana dijelaskan, semua keputusan saya selaku Tuan Yang di-Pertua mengenai apa jua usul untuk diberikan keutamaan sepatutnya hendaklah dikemukakan dan mematuhi peraturan-peraturan mesyuarat,” katanya.

Dewan Rakyat ditetapkan untuk bersidang pada 2 November ini untuk 27 hari sehingga 15 Disember.

Selain usul tidak percaya terhadap perdana menteri yang dikemukakan oleh Dr Mahathir, pada masa ini ada tiga usul percaya terhadap perdana menteri yang dibuat oleh masing-masing tiga ahli kerajaan.

Mereka ialah Shahidan Kassim (Arau-Barisan Nasional), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam-Perikatan Nasional), dan Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pasir Puteh-PAS). – 14 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen