Kerajaan atur Dewan Rakyat elak usul undi tidak percaya, kata Dr Mahathir


Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad ketika bercakap dalam satu sidang video petang ini berhubung keputusan kerajaan mengehadkan sidang sehari Dewan Rakyat.– 13 Mei, 2020.

KEPUTUSAN kerajaan mengehadkan sidang sehari Dewan Rakyat hanya untuk titah ucapan diraja bertentangan dengan peraturan Parlimen, kata Dr Mahathir Mohamad.

Keputusan itu dibuat kerana kerajaan mahu menyekat usul undi tidak percaya yang beliau kemukakan terhadap perdana menteri, kata Ahli Parlimen Langkawi.

“Saya diberitahu bahawa walaupun Tuan Speaker setuju (untuk) saya bawa usul tidak percaya terhadap Muhyiddin, sekarang ini kita tak boleh bahas. Dalam sehari itu, tidak boleh bahas usul saya. Bahkan usul kerajaan pun tak akan dikemukakan.

“Jadi apa dianya mesyuarat (Dewan Rakyat) ini?

“Untuk kita cuma dengar ucapan kerajaan melalui Yang di-Pertuan Agong. Ini bukan mesyuarat Parlimen,” kata bekas perdana menteri dalam satu kenyataan melalui video petang ini.

Dr Mahathir juga berharap pakar undang-undang dapat menjelaskan apakah persidangan sehari Dewan Rakyat yang hanya mendengar titah diraja boleh dianggap sebuah persidangan mengikut peraturan.

Undang-undang menetapkan Dewan Rakyat perlu bersidang dalam tempoh enam bulan selepas sidang terakhirnya.

“Kalau kita tidak bersidang secara formal selepas 60 hari, saya anggap bahawa pemilihan kerajaan ini tidak menepati undang-undang,” kata bekas perdana menteri.

Awal hari ini, Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmad dalam sepucuk surat kepada semua Ahli Parlimen berkata Muhyiddin memaklumkan Parlimen bahawa sidang pada 18 Mei ini dipinda hanya untuk titah diraja kerana “penularan wabak Covid-19 yang belum reda”.

Ini bermakna mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 itu juga tidak akan mendengar urusan kerajaan berhubung pakej rangsangan menangani Covid-19.

Notis awal Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof memanggil persidangan sebelum ini, yang dikeluarkan pada 17 April lalu, menetapkan sidang sehari untuk titah diraja dan urusan kerajaan.

Pada 8 Mei, Speaker menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang dikemukakan oleh Dr Mahathir untuk dibawa dalam mesyuarat Dewan Rakyat.

Menurut Dr Mahathir, beliau sebenarnya berharap dapat menjelaskan sebab-sebab kenapa usul undi tidak percaya itu dibuat tetapi sekarang tidak dapat menjelaskannya kerana Dewan Rakyat hanya akan mendengar titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya telah tunggu untuk diberi peluang bercakap untuk menyokong usul saya… pada masa itu saya akan jelaskan sebab-sebabnya saya bawa usul ini.

“Tetapi nampak ada satu percubaan untuk menghalang saya bercakap sebagai ahli dewan.

“Apa jenis kerajaan ini, yang mana ahli dewan tak boleh bercakap, kalau ada sidang dewan pun tak boleh bercakap?” tanyanya.

Dr Mahathir berpendapat pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri, pada 1 Mac lalu, tidak sah kerana pada masa itu beliau tidak mempunyai sokongan majoriti yang cukup.

Katanya, cukup atau tidak sokongan itu, boleh ditentukan melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

“(Pada) waktu dia angkat sumpah apakah dia dapat majoriti?

“Sekarang ini memang dia dapat majoritilah, dia sudah tawar banyak jawatan kepada penyokong saya pun.

“Tetapi pada waktu itu, yang dia angkat sumpah itu, apakah dia boleh buktikan dia ada majoriti, sedangkan kami dapati bahawa 114 orang (ahli Parlimen) telah tandatangan menyokong calon yang lain (sebagai perdana menteri),” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini berkata beliau tidak yakin ada sokongan yang cukup untuk menang undi tidak percaya terhadap Muhyiddin. Namun usaha itu perlu dibuat supaya kerajaan tahu apa yang rakyat fikir tentang kerajaan.– 13 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen