Dr Mahathir dibenar bawa usul undi tak percaya ke atas Muhyiddin


Usul undi tidak percaya ke atas Muhyiddin Yassin diterima untuk dibawa dalam mesyuarat Dewan Rakyat. – Gambar EPA, 8 Mei, 2020.

USUL undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diterima untuk dibawa dalam mesyuarat Dewan Rakyat, kata Speaker Mohamad Ariff Md Yusof.

Katanya, beliau menerima usul tersebut yang dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad.

“Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) diterima untuk dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat Kelak,” katanya dalam satu kenyataan.

Usul yang dikemukakan Dr Mahathir itu bagi Dewan Rakyat memutuskan Muhyiddin tidak mendapat keyakinan ahli.

“Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat.”

Ia dijangka akan menambahkan tekanan ke atas Muhyiddin yang kini turut diasak pemimpin dalam parti yang menyertainya dalam kerajaan dan juga kalangan pemimpin dalam partinya sendiri.

Ariff bagaimanapun menolak satu lagi usul dikemukakan Dr Mahathir bagi mengekalkan beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sehingga akhir penggal Parlimen ke-14.

Ia kemukakan Dr Mahathir mengikut Peraturan Mesyuarat 4.

Ariff turut menolak usul Ahli Parlimen Semporna Mohd Shafie Apdal untuk membuat ketetapan Dr Mahathir mempunyai keyakinan ahli Dewan.

Katanya, usul bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) itu tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, beliau turut menerima sebahagian daripada usul dikemukakan Liew Vui Keong dan menolak sebahagian lagi usul ahli Parlimen Batu Sapi itu.

Katanya, sebahagiannya diterima dan disegerakan demi kepentingan awam dan sebahagian lagi ditolak kerana tidak perlu disegerakan.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan usul yang diterima dan ditolak.

Liew antaranya mengemukakan usul bahawa Muhyiddin tidak mendapat keyakinan majoriti ahli Dewan.

Satu lagi melibatkan ketetapan bahawa Dr Mahathir mendapat keyakinan ahli Dewan Rakyat.

Dua lagi usul melibatkan tempoh persidangan Dewan Rakyat.

Salah satunya bagi mendapatkan ketetapan persidangan selama satu hari itu bertentangan dengan Perlembagaan.

Liew memberi alasan, Parlimen berhak mengawal selia tatacaranya sendiri dan tidak terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Satu lagi usul Liew mencadangkan sidang Dewan dilanjutkan kepada lapan hari. – 8 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen