Hanya titah Agong pada sidang Dewan Rakyat


Chan Kok Leong

Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat dalam notis mesyuarat kepada ahli-ahli Parlimen berkata Muhyiddin memaklumkan kepada Parlimen bahawa sidang pada Isnin, 18 Mei ini hanya melibatkan titah diraja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2020.

USUL undi tidak percaya Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak akan dibahas di Dewan Rakyat minggu depan kerana kerajaan menetapkan sidang sehari itu hanya bagi mendengar Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong sahaja.

Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat dalam notis mesyuarat kepada ahli-ahli Parlimen berkata Muhyiddin memaklumkan kepada Parlimen bahawa tiada sidang selepas titah diraja pada Isnin, 18 Mei ini.

“Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa perdana menteri selaku ketua Majlis Dewan Rakyat telah memaklumkan Tuan Yang di-Pertua pada 12 Mei dibawah Peraturan Mesyuarat 11(2) dan 15(2), Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat supaya Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas yang bersidang pada Isnin, 18 Mei hanya bagi urusan Titah DiRaja oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Ini selaras dengan keadaan semasa negara yang masih belum reda sepenuhnya daripada wabak Covid-19,” kata Riduan dalam notis yang dilihat The Malaysian Insight hari ini.

Oleh itu, perasmian Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong akan bermula pada jam 10 pagi, tambah beliau.

Pindaan itu berbeza notis yang dikeluarkan Riduan pada 17 April lalu, yang menyebut Dewan Rakyat akan membahaskan isu berkaitan Covid-19 akan walaupun tiada sesi soal jawab atau bahas akan dijalankan.

Dengan pindaan itu, bermakna usul undi tidak percaya Dr Mahathir terhadap Muhyiddin tidak akan dibawa dalam mesyuarat Dewan Rakyat.

Pada 8 Mei, Speaker Mohamad Ariff Yusof mengumumkan Parlimen membenarkan usul Dr Mahathir.

Menurut Ariff, usul yang dihantar oleh ahli Parlimen Langkawi itu pada 4 Mei lalu mengikut Perkara 27 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. 

Sementara itu Bernama melaporkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon mengingatkan semua ahli Parlimen hadir pada sidang minggu depan atau berdepan tindakan disiplin.

Sidang Dewan Rakyat kali ini amat penting selepas berehat hampir enam bulan, kata Rashid.

“Ahli-ahli Yang Berhormat (YB) diminta hadir dan mengikut apa yang telah ditetapkan. Sekiranya tidak hadir tanpa alasan kukuh, keahlian Dewan Rakyat ahli YB berkenaan akan bermasalah,” katanya dipetik Bernama.

Ahli Parlimen yang tidak dapat menghadirkan diri perlu memberi alasan kukuh secara bertulis seperti yang berkaitan dengan masalah kesihatan.

Beliau juga berkata semua staf Dewan yang terlibat dalam sidang Isnin depan telahpun menjalani ujian pemeriksaan Covid-19 hari ini, disusuli dengan pemeriksaan dalam kalangan ahli Parlimen yang akan diadakan esok dan lusa (Jumaat).

“Langkah dilaksanakan bagi memastikan kesemua mereka yang hadir ke kawasan Parlimen kelak adalah bebas daripada dijangkiti wabak terbabit,” katanya. – 13 Mei, 2020.

   


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen