Wakil rakyat dikuarantin boleh hadir Parlimen dengan PPE, kata speaker


Chan Kok Leong Hailey Chung Wee Kye

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata tiga ahli Parlimen yang sedang jalani kuarantin akan dibenarkan hadir esok jika memakai PPE. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2020.

TIGA anggota Dewan Rakyat yang sedang menjalani kuarantin akan dibenarkan hadir untuk pengundian akhir Belanjawan 2021 sekiranya mereka memakai pakaian perlindungan diri (PPE), kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

“Saya difahamkan ada tiga anggota Dewan Rakyat yang memohon kepada ketua pengarah kesihatan untuk hadir ke Parlimen esok.

“Mereka akan dibawa dengan ambulans dan perlu memakai PPE, dan mereka akan duduk di bilik khas sebelum masuk mengundi,” kata Azhar.

Beliau menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Dr Kelvin Yii (Kuching-PH) yang bertanya kenapa Dewan Rakyat sekali lagi meminda prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di Parlimen.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan mengesahkan tiga ahli Dewan Rakyat yang sedang menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah ialah Menteri Kesihatan Dr Adham Baba; Menteri Sumber Manusia M Saravanan, dan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran.

Menurut Azhar, anggota dewan yang dikuarantin boleh duduk di galeri awam dengan memakai PPE sehingga pengundian.

“Pengira undi dan kakitangan Parlimen yang membantu mereka juga perlu memakai pelitup muka dan sebagainya.”

Azhar menafikan kebenaran itu adalah keputusannya sebaliknya berkata ia diputuskan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kita tidak ubah SOP. Kita hanya ikut SOP yang ditetapkan oleh ketua pengarah kesihatan.

“Mereka memohon kepada ketua pengarah kesihatan dan mengikut arahannya,” tambah Azhar.

Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin dalam pekeliling kepada anggota Dewan Rakyat pada Sabtu memberitahu mereka yang sedang menjalani HSO boleh menulis kepada ketua pengarah kesihatan memohon untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.

“Jika permohonan mereka dibenarkan, maka mereka perlu mematuhi SOP yang telah dtetapkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia,” katanya, dalam salinan surat yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Ini bukan kali pertama SOP menangani Covid-19 dilihat dipinda untuk menyesuaikan keadaan di Dewan Rakyat.

Awal bulan ini, syarat kuarantin 14 hari yang dikenakan ke atas wakil rakyat dari Sabah dipendekkan selepas timbalan menteri  Jeffrey Kitingan muncul di Dewan Rakyat pada hari ke-12 beliau menjalani kuarantin.

Azhar ketika itu berkata Kitingan diberikan pelepasan oleh pejabat kesihatan.

Peruntukan belanjawan bagi baki lima lagi kementerian dijadual dibahas untuk kelulusan di peringkat jawatankuasa pada Isnin dan Selasa sebelum bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

Pengundian Belanjawan 2021 pada peringkat bacaan ketiga esok jadi perhatian ketika kerajaan Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan tipis 112 anggota Dewan Rakyat sementara pembangkang 108, termasuk ahli Parlimen bebas.

Daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, dua kosong susulan kematian wakil Batu Sapi dan Gerik, masing-masing penyokong pembangkang dan kerajaan.

Sidang Dewan Rakyat yang berlangsung selama 29 hari bermula pada 2 November lepas dan akan berakhir pada Khamis ini. – 14 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen