Ahli Parlimen jalani HSO boleh pakai PPE ke Parlimen, kata menteri


Takiyuddin Hassan mendedahkan, ahli Parlimen yang perlu menjalani HSO adalah Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba; Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, dan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2020.

AHLI Parlimen yang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) boleh hadir ke persidangan Dewan Rakyat dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) bagi proses pengundian peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

Dalam sebuah laporan Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan mendedahkan, ahli Parlimen terbabit ialah Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba; Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, dan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.

Mereka kini sedang menjalani proses kuarantin kerana menjadi kontak rapat individu positif Covid-19.

“Ya, mereka boleh datang, tapi untuk masuk ke dalam dewan mereka kena lengkap berpakaian PPE.

“Kita juga akan letakkan mereka di satu ruangan khas di dalam Dewan Rakyat,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Beliau dilapor berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi dialog media bersama Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur, hari ini.

Minggu terakhir sidang Dewan Rakyat menyaksikan beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dikenakan Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah  (HSO)  selepas menjadi kontak rapat individu positif Covid-19.

Semalam, Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin dalam pekeliling kepada anggota Dewan Rakyat memberitahu mereka yang sedang menjalani HSO boleh menulis kepada Ketua Pengarah Kesihatan memohon untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.

“Jika permohonan mereka dibenarkan, maka mereka perlu mematuhi SOP yang telah dtetapkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia,” katanya, dalam salinan surat yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Peruntukan belanjawan bagi baki lima lagi kementerian dijadual dibahas untuk kelulusan di peringkat jawatankuasa pada Isnin dan Selasa sebelum bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang Perbekalan 2021. 

Sidang Dewan Rakyat yang berlangsung selama 29 hari bermula pada 2 November lepas dan akan berakhir pada Khamis ini. – 13 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen