PAS tidak mengadap Sultan Perak hari ini, lapor media


Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dilaporkan oleh Bernama berkata majlis menghadap Sultan Perak pada petang ini dibatalkan "atas arahan pucuk pimpinan." – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2020.

PAS membatalkan jadual majlis mengadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta petang ini kerana parti Islam itu belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai pembentukan kerajaan baharu negeri, lapor media.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dilaporkan oleh Bernama berkata majlis menghadap Sultan Perak pada petang ini dibatalkan “atas arahan pucuk pimpinan.”

Majlis itu dilaporkan sepatutnya pada 3 petang ini.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan Razman yang juga Adun Gunung Semanggol berkata PAS belum ada sebarang keputusan untuk dipersembahkan kepada tuanku.

“Nanti macam kita jumpa tuanku main-main pula (kalau tidak ada keputusan),” katanya. 

Menurut Razman, PAS akan mengadap Sultan Perak dalam masa yang terdekat selepas pihak parti di pusat membuat keputusan mengenai pendirian parti dalam soal pembentukan kerajaan baharu negeri.

Awal hari ini, jurucakap istana Ahli Dewan Negara Perak Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin menitahkan semua Adun Bersatu dan PAS untuk mengadap bagi menyatakan pendirian mereka selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) bubar Sabtu lalu.

Sultan Perak bertitah demikian selepas menerima menghadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Istana Kinta, di Ipoh, pagi tadi.

Ahmad Zahid menghadap Sultan Perak untuk mempersembahkan nama calon menteri besar Umno, selepas parti itu memutuskan untuk mempertahankan kerajaan PN sebelum ini bersama Bersatu dan PAS.

“Duli Yang Maha Mulia (DYMM) perlu diyakinkan bahawa perkara yang dipersembahkan itu perlu dibuktikan terlebih dahulu.

“Oleh kerana itu, selanjutnya DYMM telah menitahkan semua Adun Bersatu dan Pas untuk datang menghadap pada bila-bila masa hari ini,” kata Annuar.

Sementara itu, selepas pukul 3 petang tadi, media melaporkan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dilihat memasuki pekarangan istana, disusuli Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi.

Sebelum itu, Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim menghadap Sultan Perak selama 10 minit pada 11.50 pagi tadi. Beliau bagaimana hadir bukan sebagai wakil Bersatu.

Hasnul adalah Adun Bersatu yang menyertai parti pada Jun lalu selepas keluar dari Amanah pada Mac, susulan percaturan politik Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

Awal hari ini, The Malaysian Insight melaporkan Bersatu sedang menimbang untuk mengambil tindakan disiplin ke atas Hasnul termasuk memecatnya dari parti selepas beliau tidak mengundi menyokong Ahmad Faizal Azumu semasa undi percaya di DUN Perak minggu lalu.

Ahmad Faizal letak jawatan menteri besar Perak pada Sabtu lalu, sekali gus mencampakkan Perak sekali lagi ke dalam kemelut politik untuk membentuk sebuah kerajaan negeri ketika semua parti politik tidak mempunyai majoriti mutlak 30 kerusi di dewan undangan negeri.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat malam tadi memutuskan akan terus mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk di Perak bersama Bersatu dan PAS.

Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang bermesyuarat petang semalam bagaimanapun membuat keputusan akan mengambil pendirian mengenai pembentukan kerajaan Perak selepas berbincang dengan PAS sebagai rakan sekutu dalam Perikatan Nasional. – 8 Disember, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen