AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dititah menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, di Ipoh hari ini, lapor Bernama.
Beliau diperkenankan menghadap baginda selama kira-kira 10 minit pada 11.50 pagi tadi, kata laporan itu.
“Saya hanya dipanggil seorang sahaja, tidak menerima arahan mewakili Bersatu,” katanya, seperti dipetik agensi berita itu.
Majlis menghadap itu ada kaitan dengan pelantikan menteri besar Perak yang baharu, selepas Ahmad Faizal Azumu letak jawatan pada Sabtu susulan gagal mendapat sokongan di DUN Perak.
Sementara itu, selepas pukul 3 petang tadi, media melaporkan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dilihat memasuki pekarangan istana, disusuli Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi.
Awal hari ini, The Malaysian Insight melaporkan Bersatu sedang menimbang untuk mengambil tindakan disiplin ke atas Hasnul termasuk memecatnya dari parti selepas beliau tidak mengundi menyokong Ahmad Faizal semasa undi percaya di DUN Perak minggu lalu.
Sumber memberitahu Bersatu mengenal pasti Hasnul sebagai wakil rakyat yang tidak menyokong Ahmad Faizal, yang juga timbalan presiden parti.
Kedudukan Hasnul, yang menyertai Bersatu pada Jun lalu, dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik Bersatu beberapa jam selepas sidang DUN Perak pada Jumaat meutuskan sokongan terhadap Ahmad Faizal.
“Kami mengenal pasti Hasnul sebagai wakil rakyat yang tidak menyokong MB (menteri besar) semasa usul percaya. Beberapa pihak dalam parti berpendapat beliau wajar dipecat kerana sudah beralih sokongan,” kata sumber pimpinan kanan Bersatu kepada The Malaysian Insight.
Seorang lagi sumber mendedahkan Bersatu “serius” menimbang untuk memecat Hasnul, selepas beliau juga dipercayai menandatangani akuan berkanun (SD) mendukung Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Saarani Mohamad sebagai calon menteri besar.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Saarani, yang juga Adun Kota Tampan, pagi tadi menghadap Sultan Perak untuk mempersembahkan nama calon menteri besar dari Umno.
Ahmad Zahid kemudian berkata pengumuman nama calon menteri besar akan dibuat menerusi kenyataan oleh pihak Istana.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengulangi komitmen supaya persepakatan dan kerjasama kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak antara Umno, Bersatu dan PAS dapat diteruskan.
Sultan Nazrin kemudian menitah semua Adun Bersatu dan PAS untuk menghadap “pada bila-bila masa hari ini”, kata Ahli Dewan Negara Perak Annuar Zaini.
Media semalam melaporkan seorang Adun Bersatu yang meninggalkan parti lamanya pada Mac lalu semasa sudah menandatangani SD menyokong Saarani sebagai calon menteri besar.
Hasnul, 40, adalah bekas Ketua Pemuda Amanah yang keluar parti selepas percaturan politik pada Mac lalu untuk menyokong kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN).
Laporan menyebut Umno ada 26 wakil rakyat yang menyokong Saarani sebagai menteri besar baharu sedangkan parti itu hanya ada 25 wakil rakyat di DUN Perak.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat malam tadi memutuskan akan terus mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk di Perak bersama Bersatu dan PAS.
Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang bermesyuarat petang semalam bagaimanapun membuat keputusan akan mengambil pendirian mengenai pembentukan kerajaan Perak selepas berbincang dengan PAS sebagai rakan sekutu dalam Perikatan Nasional.
Bersatu juga menegaskan akan mengukuhkan kerjasama dengan PAS atas nama Perikatan Nasional.
Media yang memetik sumber Bersatu Perak juga melaporkan parti itu belum membuat ketetapan mengenai pembentukan kerajaan baharu di Perak. – 8 Disember, 2020.
Komen